KABUL – Wanita telah dilarang daripada muncul dalam drama televisyen di Afghanistan di bawah peraturan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Taliban.
Wartawan dan penyampai wanita yang bersiaran di televisyen juga telah diarah memakai tudung walaupun garis panduan tidak menyatakan jenis tudung yang akan digunakan.
Taliban merampas kuasa di Afghanistan pada pertengahan Ogos dan ramai yang bimbang mereka secara beransur-ansur mengenakan sekatan yang keras.
Taliban menguasai semula Afghanistan dan hampir serta-merta mengarahkan gadis dan wanita muda untuk tinggal di rumah dan tidak bersekolah.
Semasa pemerintahan mereka sebelum ini pada 1990-an, wanita dilarang daripada mendapat pendidikan dan bekerja.
Garis panduan yang ditetapkan kepada saluran televisyen Afghanista, menampilkan lapan peraturan baharu.
Ia termasuk pengharaman filem yang dianggap bertentangan dengan prinsip Syariah – atau undang-undang Islam dan nilai-nilai Afghanistan, manakala rakaman lelaki mendedahkan bahagian intim badan adalah dilarang.
Komedi dan hiburan yang menghina agama atau mungkin dianggap menyinggung rakyat Afghanistan juga dilarang.
Taliban telah menegaskan filem asing yang mempromosikan nilai budaya asing tidak harus disiarkan.
Seorang ahli pertubuhan yang mewakili wartawan di Afghanistan, Hujjatullah Mujaddedi berkata, pengumuman sekatan baharu itu adalah di luar jangkaan.
Dia memberitahu BBC beberapa peraturan itu juga tidak praktikal dan jika dilaksanakan, penyiar mungkin terpaksa ditutup.
Keputusan awal Taliban untuk mengarahkan kanak-kanak perempuan dan wanita muda untuk tinggal di rumah menjadikan Afghanistan satu-satunya negara di dunia yang menghalang separuh penduduknya mendapat pendidikan.
Datuk Bandar ibu kota, Kabul, turut memberitahu pekerja wanita perbandaran supaya tinggal di rumah melainkan pekerjaan mereka tidak dapat diisi oleh kaum lelaki.
Taliban mendakwa sekatan terhadap wanita yang bekerja dan kanak-kanak perempuan belajar adalah “sementara” dan hanya dilaksanakan untuk memastikan semua tempat kerja dan persekitaran pembelajaran “selamat” untuk mereka. – BBC