KUALA LUMPUR – Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim berada dalam senarai calon ketua jurulatih Sri Pahang bagi menghadapi saingan musim depan.
Perkara itu dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran di mana selain Teong Kim, dua lagi jurulatih dilaporkan turut berada dalam senarai iaitu Christophe Gamel dan jurulatih ketika ini, Dollah Salleh.
Teong Kim sebelum ini pernah mengendalikan skuad B-16 tahun negara yang rata-rata dibarisi oleh graduan dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam temasya AFC B-16 Tahun yang dijalankan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 2018 lalu.
Namun pasukan negara gagal menampilkan prestasi terbaik dimana anak-anak buah Teong Kim menamatkan saingan kumpulan A di tangga tercorot dengan perolehan tiga mata, hasil kemenangan ke atas Tajikistan serta tewas kepada Thailand dan Jepun.
Bagi Christophe Gamel pula, pada awal musim ini beliau merupakan penolong ketua jurulatih kepada Thomas Dooley namun keduanya direhatkan setelah Sri Pahang menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan pada dua aksi pertama Liga Super.
Gamel dan Dooley kemudiannya diberikan tanggungjawab baharu sebagai penasihat pasukan dan ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun sementara Dollah Salleh mengambil alih tugas menguruskan pasukan utama.
Musim ini, di bawah bimbingan Dollah, Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10, dibezakan dua mata dengan Perak yang menamatkan saingan di tangga ke-11 sekaligus tersingkir ke Liga Premier musim depan.
Dalam saingan Piala Malaysia pula, Sri Pahang berada di tangga ketiga dalam kumpulan A sekaligus terlepas peluang untuk mara ke pusingan kalah mati. – MalaysiaGazette