KUALA LUMPUR – Asap tebal menyelubungi ibu kota akibat kebakaran kedai menjual alat ganti kereta terpakai di Taman Segambut di sini hari ini.
Menurut Komander Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Muhammad Ridhwan Kamarulzaman, kebakaran kira-kira pukul 5 petang itu memusnahkan hampir 90 peratus premis berkenaan.
“Operasi pemadaman melakukan teknik offensive dan defensive dengan membahagikan pasukan kepada beberapa bahagian untuk mengelak api merebak lebih besar.
“Tiada mangsa dilaporkan setakat ini dan kerja-kerja pemadaman masih dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, video kebakaran yang sama tular apabila ramai netizen berkongsi di media sosial masing-masing.
Kejadian juga menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya sekitar kawasan berkenaan kerana berlaku semasa ramai warga kota pulang daripada bekerja.- MalaysiaGazette