KUALA LUMPUR – Kemenangan di Melaka bukan lagi untuk diulas-ulas dan dibangga-banggakan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, Barisan Nasional telah mengembalikan kestabilan dan memulihkan demokrasi di Melaka justeru fasa seterusnya ialah mengurus kemajuan negeri tersebut dan memakmurkannya.
Katanya, setelah tiga tahun dibazirkan oleh pergolakan politik, ini adalah saat genting bagi BN untuk terus memacu ke hadapan dengan pantas dan bingkas.
“Banyak yang telah diperkatakan sejak kemenangan BN di Melaka. Saya tidak berhasrat untuk mengulasnya lagi.
“Bagi saya, ini adalah masa untuk bekerja. Bekerja dengan lebih kuat.
“Kemenangan yang dikecapi mesti dilunaskan segera dengan tanggungjawab memulihkan ekonomi, mencipta pekerjaan, dan menambahbaik tadbir urus Kerajaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Mohamad berkata, setelah kestabilan politik yang telah BN terima di Melaka, kemakmuran rakyat negeri Melaka mesti diterjemahkan melalui kepesatan pembangunan dan kesejahteraan hidup.
Melaka, katanya, memerlukan lonjakan baru di dalam sektor ekonomi. Pelancongan Melaka wajar diberi nafas baru dengan model perniagaan yang inovatif.
Beliau menarik perhatian mengenai idea untuk menjadikan Melaka sebuah kota utama untuk pekerja lepas (freelancers), digital nomad, dan pengiat industri kreatif yang wajar diberikan keutamaan.
“Melaka boleh menjadi destinasi bagi pekerja lepas (freelancers) dan industri kreatif utama Malaysia,” katanya.
Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata, berasaskan kekuatan Melaka dalam industri pelancongan kesihatan, anjakan seterusnya ialah membangunkan Melaka sebagai wilayah ekonomi berorentasikan kesihatan yang utama di negara ini.
Melalui ikhtiar sebegini, katanya, sektor seperti pembuatan produk berkaitan kesihatan, latihan kesihatan, serta pengembangan industri farmaseutikal boleh menjadi sektor keberhasilan baru.
Kedudukan Melaka yang strategik di Selat Melaka mesti digunakan sebaik mungkin bagi menjadikan Melaka sebagai gerbang baru bagi kemasukan industri, pelancong, pekerja, dan pelajar dari Sumatera.
“Memesatkan pertumbuhan ekonomi akan mencipta pekerjaan. Rakyat yang mempunyai pekerjaan akan akhirnya boleh mengecapi kesejahteraan asalkan kekayaan yang tercipta itu diagihkan dengan saksama,” katanya.
BN memang dua pertiga majoriti di Melaka sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu dalam PRN, 20 November lalu. – MalaysiaGazette