Home Seni Hidup Kolaborasi UMP, empat syarikat taja latihan industri

Kolaborasi UMP, empat syarikat taja latihan industri

Abdul Aziz Abdul Rahman dan Yuserrie mewakili Yayasan UMP menandatangani MOA dengan pihak Aquatwo Sdn. Bhd. di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama strategik dengan empat syarikat dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan penawaran Biasiswa Kecemerlangan Latihan Industri (LI).

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman merangkap Pengerusi Yayasan UMP berkata, empat syarikat terbabit merupakan Nextgreen Pulp & Paper Sdn Bhd, Chua Ming Hooi Construction Sdn Bhd, Hardex Corporation Sdn Bhd dan EC Excel Wire Sdn Bhd.

Menurut beliau, pihaknya merakamkan penghargaan kepada syarikat yang menyumbang biasiswa untuk membantu kewangan buat pelajar yang memerlukan.

“Ia akan memanfaatkan mahasiswa terhadap sokongan kewangan, pendedahan serta penempatan latihan industri kepada pelajar yang tepilih sepanjang mengikuti pengajian di UMP.

“Pelajar juga akan menerima manfaat pengalaman praktikal berorientasikan pembangunan pengetahuan atau kemahiran khusus dalam bidang pengajian pelajar, ” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, mereka juga berpeluang mendapat penempatan latihan industri serta  meningkatkan kerjasama antara universiti dengan industri.

“Dalam menjayakan usaha ini, UMP menerusi Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (PPPK) bertanggungjawab dalam menguruskan aktiviti pembangunan kerjaya dan operasi penempatan latihan industri pelajar  bagi semua program pengajian pra siswazah di UMP,” katanya.

Tambah Abdul Aziz,  biasiswa berprestij dan eksklusif itu bakal ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik serta menunjukkan bakat kepimpinan.

Turut berlangsung kerjasama strategik Yayasan UMP dengan Syarikat Aquatwo Sdn Bhd bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta meningkatkan bantuan kebajikan mahasiswa. – MalaysiaGazette