KUALA LUMPUR – Zurich Malaysia mendapati 59% daripada pemandu Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir.
Ia adalah hasil dapatan Kaji Selidik Impak Pandemik Terhadap Perlindungan.
Pengguna jalan raya mungkin mengalami kerugian besar jika mereka tidak bersedia dan beranggapan mereka tidak akan terjejas.
Zurich berkata, dapatan ini membimbangkan kerana Malaysia kerap mengalami musim tengkujuh, seperti musim Monsun Timur Laut yang melanda dari November hingga Mac tahun depan.
Selain banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang adalah risiko yang pengguna jalan raya Malaysia tidak bersedia menghadapi.
Hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya (34%) mempunyai perlindungan untuk ribut, termasuk pokok tumbang, dan hanya 29% dilindungi untuk tanah runtuh.
Kaji selidik ini juga mendapati dari segi pembaharuan insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia masih menggunakan ejen untuk berbuat demikian.
Daripada 990 responden yang memiliki kenderaan bermotor, 38% memilih untuk menggunakan ejen walaupun terdapat portal dalam talian.
Namun begitu, portal dalam talian adalah kaedah yang paling popular dengan 43% daripada pengguna jalan raya menggunakannya, menunjukkan kepentingan teknologi dalam pasaran hari ini.
Dari segi perlindungan insurans dan takaful kenderaan, trend yang perlu diberi perhatian ialah kebanyakan rakyat Malaysia memilih pelan yang meliputi semua pemandu (36%) dan bukannya hanya pemandu yang dinamakan dalam polisi (34%).
Ini amat berguna jika pemilik kereta berada di dalam kenderaan tetapi tidak memandu, seperti mengambil gilaran untuk memandu dalam perjalanan rentas negeri yang panjang.
Zurich berkata, kajian ini djalankan pada September 2021 melibatkan 1,201 rakyat Malaysia di seluruh negara, yang mana 990 daripadanya adalah pemilik kenderaan.
Kajian ini merupakan usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan dan mereka bentuk pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan gaya hidup supaya dapat membina masa depan yang lebih baik bersama. – MalaysiaGazette