Home Nasional Mayat lelaki bertatu ditemui tempat pelupusan sampah DBKL

Mayat lelaki bertatu ditemui tempat pelupusan sampah DBKL

Mayat lelaki bertatu ditemui berhampiran tempat pelupusan sampah DBKL di MRR2 Batu Caves.- Gambar Ihsan Polis IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki tidak dikenali ditemui di kawasan pelupusan sampah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) Batu Caves dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mayat lelaki itu dianggarkan berusia 50-an dan ditemui pada 19 November lalu selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati mangsa dipercayai telah hanyut di sungai itu sebelum tersangkut di tebing sungai.

“Semasa dijumpai dan siasatan di tempat kejadian polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada badan si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, si mati memakai pakaian kemeja T-berkolar bulat berwarna kemerahan yang telah lusuh, berseluar jeans panjang dan tidak memakai kasut.

Menurutnya, mayat kemudian telah dikeluarkan dari lokasi dan segera dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dilakukan bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Hasil bedah siasat mendapati pada tubuh badan si mati tiada kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah dan di bahu kanan si mati terdapat corak tatu manakala suntikan vaksin BCG pada bahagian bahu kiri tidak dapat dikesan
kerana mayat telah reput.

“Sehingga kini masih belum ada ahli keluarga atau mana-mana pihak yang tampil untuk menuntut mayat tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi.

Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Kamilan di talian 03-62572222/ 018-3913856.- MalaysiaGazette