GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan kononya penganjuran Pesta Pulau Pinang diadakan tahun ini.
Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Dr Mohamad Farazi Johari berkata, dakwaan penganjuran Pesta Pulau Pinang bermula 1 hingga 31 Disember ini adalah tidak benar.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menyebarkan berita palsu yang tular di media sosial.
“Kita harap orang ramai mendapatkan kesahihan daripada sumber yang betul berhubung isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan penganjuran pesta tersebut akan dikeluarkan secara rasmi oleh pihak Kerajaan Negeri.
Pesta Pulau Pinang yang menjadi antara tarikan di negeri itu setiap tahun dibatalkan tahun lalu berikutan keadaan semasa pandemik Covid-19.
Acara yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini telah menjangkau usia 55 tahun menjadi ikon pelancongan serta tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara pada Disember setiap tahun. – MalaysiaGazette