Home Pendapat UMNO usah leka, PPBM hanya tunggu masa

UMNO usah leka, PPBM hanya tunggu masa

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pengerang berharap Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan DUN Tanjung Surat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.- Gambar hiasan.
Saudara Pengarang,

Sehari selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sudah ada saranan daripada beberapa pemimpin UMNO supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menimbang menyegerakan Pilihan Raya Umum (PRU-15).

Ia tidak mengejutkan berikutan momentum BN yang baik selepas meraih 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dilihat sebagai sentimen rakyat ketika ini memihak kepada gabungan Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu.
Namun, jika diteliti lebih mendalam keputusan PRU 2018 dan PRN Melaka, BN masih bukan pilihan majoriti rakyat negeri bersejarah itu pada 20 November lalu kerana undi popular diperolehnya hanya meningkat sedikit, tetapi bernasib baik dengan perpecahan undi di antara PH dan PN.

Sebanyak 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN lalu, jumlah keluar mengundi paling rendah dalam sejarah pilihan raya di Melaka.

Pakatan Harapan (PH) yang mencipta tsunami politik apabila berjaya menumpaskan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), hanya menang lima kerusi, masing-masing empat oleh Dap hasil sumbangan kerusi di kawasan pengundi bukan majoriti Melayu dan Amanah melalui bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

Analisisnya, pecahan undi kepada PH susut sebanyak 15.31 peratus, kebanyakannya disebabkan pengundi luar bandar yang tidak menyokong BN beralih kepada PN, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding banyak kerusi di kawasan terbabit ketika menjadi komponen pakatan itu pada PRU-14.

PN yang mempertaruhkan calon daripada PPBM, Pas serta Gerakan dan buat julung kali bertanding pilihan raya, juga memberi impak apabila menang dua kerusi, merampasnya daripada UMNO di Pantai Kundor dan daripada DAP di Bemban.

Pas yang kalah semua lapan kerusi dan Gerakan di semua lima kerusi, turut menunjukkan prestasi lebih baik berbanding PRU-14, malah tiada calon Pas yang hilang deposit pada PRN ini, berbanding 10 daripada 24 calonnya pada 2018.

Undi kepada Pas juga bertambah di beberapa kerusi, khususnya di Serkam dengan peningkatan 18 peratus sokongan berbanding PRU-14 dan di Duyong sebanyak lima peratus.

Di Gadek dan Bemban, PN berjaya memainkan peranannya dengan berkesan dalam menarik sokongan pengundi Melayu serta memecahkan undi bukan Melayu dan keseluruhannya, berjaya meraih kira-kira 17 peratus undi popular daripada pemilih Melayu, terutama pengundi muda.

Jika dilihat dua kerusi dimenangi PPBM, iaitu Bemban dan Sungai Udang, masing-masing dengan majoriti 328 dan 530 undi, ia menunjukkan undi awal membabitkan tentera, polis dan keluarga mereka memberi kelebihan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan PPBM mendapat untung paling besar pada PRN Melaka apabila berjaya menggandakan undinya berbanding PRU 2018 melalui 15 calon yang dipertaruhkan pada 20 November lalu, berbanding hanya enam calon pada PRU-14.

Kemenangan di DUN Sungai Udang dan Bemban menyaksikan PPBM berjaya mengekalkan prestasinya sama seperti PRU-14 dan parti berkenaan menerimanya sebagai isyarat positif bahawa PN mempunyai potensi untuk terus meraih sokongan rakyat pada PRU-15 nanti.

BN dan Umno juga perlu melihat perkembangan itu dari perspektif PPBM, usah terlalu selesa dan membuat kesimpulan kemenangan dengan majoriti dua pertiga diperoleh mereka di Melaka sebagai kayu pengukur nasib PN dalam politik negara.

BN dan UMNO perlu berwaspada kerana gabungan parti baharu atau ‘setahun jagung’ juga punya daya saing dan turut menjadi pilihan pengundi yang berharap mendapat kerajaan yang lebih baik dan dapat menjaga kepentingan mereka.
Shamsul Abu Bakar
Ayer Keroh, Melaka

1 Komen

  1. Manusia yanng suka umno bn sebab taraf mereka sama akidahnya . Kalau aku jadi pm pun aku akan buat seperti najib juga .. untok mendidik manusia ini mesti lah dididek anak nya disekolah supaya dapat lahirkan generasi manusia berbeza dari keturunan nya

Comments are closed.