Home SISWA UMS-Petronas meterai perjanjian pacu pengetahuan bidang teknikal

UMS-Petronas meterai perjanjian pacu pengetahuan bidang teknikal

Taufiq (kanan) dan Bacho (kiri) saling bertukar dokumen MoU antara UMS dan Petronas

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) baru-
baru ini bagi memacu perkongsian pengetahuan industri-akademik dalam bidang teknikal.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun berkata, MoU ini bukan sahaja
memberi impak yang tinggi dalam bidang kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS,
tetapi ia juga bakal memberi manfaat kepada bidang-bidang lain di UMS.

’’Di bawah kolaborasi CHESS ini, kita berharap ia dapat meningkatkan daya saing pelajar dari segi pengetahuan dan kebolehpasaran, meningkatkan inovasi dan seterusnya meningkatkan kelestarian dalam bidang akademik serta pembangunan dan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga akan dapat membantu pelajar dan pensyarah untuk mendapatkan
bimbingan dari industri terutama yang melibatkan latihan industri, pengembangan
kemahiran, dan juga untuk penempatan pekerjaan,’’ katanya.

Menurut Taufiq, kolaborasi itu juga mampu mempertingkatkan hubungan dua hala antara
universiti dan industri.

Keterlibatan program bersama dengan industri adalah salah satu kriteria dalam
penilaian akredatasi bagi Engineering Accreditation Council (EAC).

“Oleh itu, MoU ini secara langsung dapat membantu menjayakan penilaian akredatasi bagi
program yang ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan.

“Dalam masa sama, kolaborasi ini juga meningkatkan lagi keterlihatan UMS sebagai sebuah institusi yang mempunyai jaringan kukuh dengan industri, di samping boleh menambahkan keyakinan terhadap pemegang taruh universiti,” jelas Taufiq sambil memaklumkan ramai graduan UMS kini berkhidmat dengan Petronas.

Sementara itu Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas,
Bacho Pilong berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk mencipta impak sosial yang positif berpandukan agenda kelestarian yang digariskan.

“Pembangunan bakat melalui inisiatif berkaitan pendidikan merupakan salah satu cara
Petronas menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya yang juga Profesor Adjung
di UMS. – MalaysiaGazette