Home Nasional Yadim terkejut ada agensi agama terlibat rasuah

Yadim terkejut ada agensi agama terlibat rasuah

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasrudin Hassan, hadir bagi melancarkan kempen pencegahan rasuah bertempat di KompleksIslam Putrajaya. FotoAMIRUL SHAUFIQ 23 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa wujud aktiviti rasuah dalam agensi agama di negara ini.

Yang Dipertuannya, Nasrudin Hassan berkata, agensi melibatkan keagamaan sepatutnya bersih daripada rasuah dan mencerminkan budaya Islam yang syumul.

“Statistik rasuah di negara kita rasa agak terkejut apabila disebut oleh baru-baru ini bahawa tidak ketinggalan agensi-agensi agama turut terpalit dengan rasuah.

“Bukan kecil jumlahnya, yang sepatutnya bersih daripada rasuah. Bila sebut terpalit tanpa perlu disebut berapa peratusannya cukup memalukan dan mengaibkan.

“Mungkin satu atau dua peratus tidak selayaknya dapat, kita yakin kena bagi komitmen supaya tidak ada sebarang keterlibatan dengan gelaja rasuah,” katanya ketika melancarkan kempen pencegahan rasuah YADIM, hari ini.

Tambah beliau, lebih parah apabila aktiviti rasuah itu turut menyerap masuk di dalam kalangan orang-orang yang berpengetahuan agama.

Justeru itu, katanya, kerajaan harus mengambil tindakan segera sebelum ia jatuh dan merosakkan negara.

“Rasuah ini sudah tidak kenal mangsa kalau kita tidak berhati-hati.

“Jadi berapa statistik boleh rujuk SPRM, tetapi memang tidak boleh dipandang kecil dan sepatutnya negara kita yang majoritinya Islam, dan Perdana Menterinya Islam jadi budaya rasuah ini tidak berlaku,” katanya.

Ditanya sejauh mana serius gejala rasuah membabitkan agensi berkaitan agama, Nasrudin berkata, walaupun hanya satu peratus ian sudah boleh dianggap serius dan harus dibendung dengan segera.

“Gelaja rasuah ini tidak sepatutnya masuk dalam agensi agama, kalau pun ada satu peratus maknanya ia adalah perkara yang sangat serius.

“Di YADIM, kami sasarkan sifar budaya rasuah yang mana saya diberikan tanggungjawab untuk menjaga dan mengawalnya.

“Rasuah ini berlaku ini bukan bertolak daripada kejahatan dan kemahuan mereka tapi bertitik tolak daripada tidak memahami apa perkara yang mengakibatkan mereka terpalit kepada rasuah.

“Mungkin ada sebahagian yang menganggap terima hadiah itu adalah perkara biasa, tapi tergolong daripada perkara yang boleh menyebabkan rasuah,” katanya.

Justeru itu, Nasrudin menggesa SPRM memperincikan peratusan dan jumlah kes mengenai aktiviti rasuah dalam kalangan agensi agama di negara ini. – MalaysiaGazette