Home Ekonomi Ahli politik aktif tidak digalak dilantik sebagai ahli lembaga syarikat tersenarai

Ahli politik aktif tidak digalak dilantik sebagai ahli lembaga syarikat tersenarai

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia tegas dalam pendiriannya untuk tidak menggalakkan pelantikan ahli politik yang aktif bagi memastikan kepimpinan lembaga pengarah syarikat senaraian awam lebih berdaya tahan, inovatif dan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk melaksanakan strategi dan kaedah baharu sebagai tindak balas kepada keadaan perubahan pasaran.

“Kami telah menangani isu ini dan cadangan kami adalah untuk tidak menggalakkan pelantikan ahli politik yang aktif. Ini adalah pendirian SC,” kata suruhanjaya itu dalam taklimat teknikalnya.

SC sebelum ini telah menyatakan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang telah dikemas kini bahawa lembaga pengarah juga mesti mengambil kira amalan terbaik yang disyorkan berhubung dengan pelantikan lembaga pengarah.

Dalam kes syarikat milik kerajaan (SOE), Garis Panduan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan mengenai Tadbir Urus Korporat Syarikat Milik Kerajaan mengesyorkan agar komposisi lembaga SOE harus membenarkan pelaksanaan pertimbangan objektif dan bebas.

SC menekankan bahawa semua ahli lembaga pengarah termasuk pegawai perkhidmatan awam harus dicalonkan berdasarkan kelayakan dan mempunyai tanggungjawab undang-undang yang setara (Prinsip VII.C).

“Seterusnya, garis panduan itu mengesyorkan bahawa orang yang dikaitkan secara langsung dengan kuasa eksekutif seperti ketua kerajaan dan menteri tidak seharusnya berkhidmat di lembaga pengarah kerana ia akan menimbulkan keraguan serius terhadap kebebasan terhadap pertimbangan mereka.

“Selain itu, syarikat tersenarai tidak digalakkan melantik ahli politik yang aktif sebagai pengarah dalam lembaga pengarahnya,” katanya.

Sementara itu, SC telah mengeluarkan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021 — 2023 (Keutamaan Strategik CG), komponen kritikal Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) yang berteraskan enam keutamaan pembangunan dan pengawalseliaan utama dengan teras strategik CMP3 memberi tumpuan kepada pemangkin pertumbuhan berdaya saing, memperkasakan pelabur untuk masa depan yang lebih baik dan membentuk ekonomi pihak berkepentingan pada masa yang sama menerapkan akauntabiliti bersama, mengutamakan kecekapan dan hasil serta menerima teknologi.

SC berkata komposisi lembaga pengarah adalah penentu penting dalam kepimpinan lembaga pengarah kerana ia membolehkan syarikat tersenarai bertindak balas secara berkesan terhadap imperatif dan gangguan yang timbul, ia memerlukan kepelbagaian lembaga daripada segi kemahiran, jantina, umur dan kewarganegaraan.

“Bagi syarikat untuk terus beroperasi dan berkembang maju, lembaga pengarah juga mesti belajar menyesuaikan diri. Lembaga pengarah yang mengamalkan pendekatan proaktif dan berfikiran ke hadapan untuk memberi nafas baharu kepada lembaga pengarah dan pembangunan profesional yang berterusan.

“Sehubungan itu, bagi tempoh tiga tahun akan datang, SC akan memberi tumpuan kepada menggalakkan lembaga pengarah menyemak dan memberi nafas baharu kepada komposisi mereka bagi memastikan terdapat kepelbagaian dan gabungan kepakaran yang betul dalam lembaga pengarah serta meningkatkan rangka kerja pembangunan profesional berterusan untuk lembaga pengarah,” katanya. – MalaysiaGazette