Home Dunia Bas langgar penghadang jalan, terbakar, sekurang-kurangnya 45 maut

Bas langgar penghadang jalan, terbakar, sekurang-kurangnya 45 maut

Kemalangan bas di Bulgaria mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk 12 kanak-kanak- Foto ABC News

SOFIA – Sebuah bas yang membawa pelancong pulang ke Macedonia Utara melanggar penghadang jalan dan terbakar di barat daya Sofia, Bulgaria kira-kira pada jam 2 pagi semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk 12 kanak-kanak, terkorban.

Tujuh mangsa yang terselamat dimasukkan ke hospital.

Menteri Dalam Negeri Bulgaria, Boyko Rashkov berkata, mangsa  yang maut didapati rentung.

Ketua Perkhidmatan Siasatan Bulgaria, Borislav Sarafov mengesahkan terdapat 52 orang berada di dalam bas terbabit dan antara yang terselamat ialah lima warga Macedonia Utara, seorang warga Serbia dan seorang warga Belgium, lapor ABC News.

Menteri Luar Albania, Olta Xhacka berkata, hampir semua yang maut adalah etnik Albania namun tidak jelas sama ada terdapat warga Macedonia Utara terkorban.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Macedonia Utara, Blagoj Bocvarski memberitahu pemberita di Skopje, pegawainya telah memulakan prosedur untuk membatalkan lesen pengangkutan syarikat pelancongan yang memiliki bas itu.

Beliau berkata, syarikat itu mempunyai empat bas yang mempunyai permit untuk membawa penumpang ke luar negara tetapi bagi bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut tidak memiliki permit tersebut.

Kerajaan Macedonia Utara mengisytiharkan tiga hari berkabung dan bendera diturunkan separuh tiang manakala acara dan majlis awam dibatalkan. – ABC News