Home Nasional Bekas setiausaha cuai tetapi Zahid pula dituduh – Peguam

Bekas setiausaha cuai tetapi Zahid pula dituduh – Peguam

Former Deputy Prime Minister Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pointed his fingers at Major Mazlina Mazlan during the embezzlement trial involving Yayasan Akalbudi foundation

KUALA LUMPUR – Sekali lagi peguam bela mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam prosiding melibatkan penyelewengan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi menuding jari kepada Mejar Mazlina Mazlan.

Mazlina merupakan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid sebelum ini dituduh cuai oleh pembelaan dalam mengendalikan pembayaran bil kad kredit dan insurans kereta menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi.

Kata peguam mewakili Ahmad Zahid, Mohd Noh ketika hujah akhirnya, yang melakukan kecuaian adalah Mazlina namun Ahmad Zahid yang berdepan dengan dakwaan rasuah.

“Beliau yang punca mengapa anak guam kami didakwa pada perbicaraan ini,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Sebelum ini, Mazlina yang juga merupakan saksi ke-90 kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak menunjukkan cek-cek bayaran kad kredit kepada Ahmad Zahid itu sebelum dimasukkan ke bank.

Bekas pegawai tentera itu juga mengaku menggunakan cop tanda tangan Ahmad Zahid bagi cek-cek berkenaan

Ahmad Zahid ketika ini sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd Noh turut melahirkan rasa terkilan anak guamnya apabila sebelum ini pasukan pendakwaan berhujah tentang tabiat berbelanja Ahmad Zahid dan isterinya yang juga turut menarik perhatian orang miskin ketika membeli belah.

Kata Mohd Noh, pihaknya berharap mahkamah akan mengambil kira hujahan tersebut yang sebenarnya langsung tidak relevan dan tidak sepatutnya diungkapkan oleh pendakwaan.

“Anak guam kami tersinggung kerana ianya seperti prejudis dan tidak relevan sama sekali. Kami membantah sekeras-kerasnya hujah ini dan berharap mahkamah tidak mengambil kira perkara ini yang langsung tidak berkaitan,” ujarnya.

Sebelum ini, ketika berhujah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis menjelaskan bil kad kredit melebihi RM1.3 juta menggunakan wang Yayasan Akalbudi selepas membeli belah di gedung-gedung mewah dalam tempoh dua tahun.

Sedangkan ketika itu, pendakwaan mendakwa objektif penubuhan Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid sebenarnya membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin.

Prosiding akan bersambung pada 29 Disember ini. -MalaysiaGazette