KUALA LUMPUR – Hasil eksport industri kayu dijangka meningkat dua kali ganda kepada RM25 bilion pada tahun depan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan eksport produk berasaskan kayu pada tahun ini mencecah RM14.3 bilion berbanding sasaran sebanyak RM12.5 bilion.
Kata beliau, industri perkayuan berpotensi menambah pendapatan negara, sekali gus menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Alhamdulillah industri kayu mencatatkan peningkatan pendapatan eksport kepada negara.
“Saya harap industri perkayuan akan dapat memainkan peranan penting dalam negara dalam meningkatkan kedudukan kewangan negara terutama sekali menyokong program Pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Inkubator Reka Bentuk TIMB3R (TIMB3R DIP) dan Hackathon, Reimagine, Redesign, Remix, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, hasil eksport negara dalam industri berkenaan membuktikan kualiti produk perkayuan Malaysia adalah baik.
Katanya, industri perkayuan akan menerokai pasaran baru seperti Asia Tengah , China, India, Timur Tengah, Australia dan New Zealand pada tahun depan.
Bagaimanapun, ujar Zuraida, industri itu perlu mendapat sokongan khususnya dalam memastikan tenaga pekerja sentiasa mencukupi.
Beliau berkata, pekerja tempatan dilihat jarang kekal dalam industri ini, oleh itu semua pemain industri perlu mencari jalan penyelesaian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
“Pastikan ada pekerja yang cukup dan pengurusan yang kita tumpukan lebih cekap, dari segi dana. Insya-Allah kita akan tingkatkan pendapatan hasil dari industri kayu.
“Masalah industri ini adalah kemungkinan pekerja tempatan lari. Kita kena tengok mekanismenya. Bagaimana nak pastikan bila dah ambil bekerja dan pastikan kekal,” katanya. – MalaysiaGazette