Home Seni Hidup Fazley mohon maaf, 10 tahun tak menyanyi atas pentas

Fazley mohon maaf, 10 tahun tak menyanyi atas pentas

Fazley Yaakob merupakan peserta Gegar Vaganza musim kelapan.

KUALA LUMPUR – Selepas teruk dikritik di media sosial, peserta Gegar Vaganza lapan (GV8) Datuk Fazley Yaakob memohon maaf atas persembahan yang kurang memuaskan ketika konsert pertama GV malam kelmarin.

Menurut Fazley, perasaan gementar muncul kerana dia sudah lama tidak membuat persembahan berkemungkinan antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan tersebut.

“GV8 merupakan satu pentas besar. Rasa macam berdiri di hujung padang bola.

“Memang nervous habis, sekian lama tidak menyanyi atas pentas besar hampir 10 tahun, hanya menyanyi sambil memasak di dapur.

“Saya terlalu gementar dan sedikit emosi terkenangkan anak-anak,” tulisnya di media sosial

Fazley, 43, menambah, dia juga akan cuba ‘menebus’ kekecewaan tersebut pada minggu hadapan menerusi persembahan konsert kedua.

“Maafkan saya buat mereka yang hampa, terima kasih buat mereka yang memahami.

“Syukur buat mereka yang masih sudi memberikan semangat.

“Insya-Allah, saya akan cuba lebih baik minggu hadapan dengan lagu abang Hasnol, laguku untukmu,” katanya.

Pada konsert pertama GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lalu, Fazley berada pada kedudukan terakhir dengan markah 53 peratus.

Penyanyi Singapura Aliff Aziz pula muncul sebagai bintang dengan markah tertinggi iaitu 74.6 peratus.

Sementara itu, juara GV8 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM30,000 termasuk trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 serta trofi. – MalaysiaGazette