Home Utama Harga tiket final Piala Malaysia bermula RM50

Harga tiket final Piala Malaysia bermula RM50

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tiga kiri) berkenan menyerahkan piala kepada ketua pasukan JDT, Hariss Harun (dua kanan) selepas menewaskan Kedah 3-0 sambil diperhatikan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff (dua kiri), Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim (kiri) dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengumumkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa depan bermula RM50.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan laman Facebook rasmi MFL, senarai harga tiket perlawanan akhir adalah mengikut empat tier bermula dengan General Admission yang berharga RM50 dan RM70, Premium General Admission (RM80) serta Premium Grandstand (RM150).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, MFL telah menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 adalah sama seperti harga tiket pada 2019.

“Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad.

“Buat masa ini, sejumlah 20,000 tiket tempat duduk terbuka akan dijual mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi MFL telah mengemukakan permohonan kepada MKN agar jumlah itu dapat ditambah.

“Selain itu MFL juga telah memohon untuk penonton dibenarkan makan dan minum di dalam stadium dan kami berharap permohonan itu akan mendapat pertimbangan sebaiknya daripada pihak MKN,” katanya dalam kenyataan itu.

Untuk makluman, orang ramai boleh membuat pembelian tiket menerusi pautan www.tickethotline.com.my pada Sabtu, 27 November 2021 bermula jam 12 tengah hari. – MalaysiaGazette