GEORGE TOWN – Pengusaha restoran nasi kandar Hameediyah mendakwa pemilik resit asal resit hidangan dua ekor sotong goreng bernilai RM100 mohon maaf kepada mereka menerusi mesej di aplikasi WhatsApp hari ini.
Pengarah Restoran Hameediyah Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, berkata, wanita berkenaan turut menafikan dirinya yang mempertikaikan harga hidangan sotong goreng ‘apollo’ itu dengan memuat naik mesej di media sosial.
Katanya, pelanggan itu mendakwa ada pihak lain menyunting gambar yang dimuat naiknya di Instagram dengan kapsyen tertentu.
“Pelanggan tersebut mesej saya sebentar tadi untuk beri penjelasan sebenar, selain mengaku tahu akan harga hidangan sotong goreng ‘apollo’ itu.
“Selain itu, individu berkenaan turut meminta saya untuk memuat naik perbualan mohon maaf ini agar orang ramai dapat penjelasan sebenar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Muhammad Riyaaz, dia menerima permohonan maaf pelanggan tersebut memandangkan individu itu tidak berniat untuk menjatuhkan reputasi restorannya.
“Bagaimanapun, saya bercadang untuk membuat laporan berhubung isu ini agar pihak polis dapat menjalankan siasatan mengenal pasti individu yang sengaja mencetuskan isu harga hidangan di restoran nasi kandar ini,” katanya. – MalaysiaGazette