KUALA LUMPUR – Penerbit tersohor, Puan Seri Tiara Jacquelina berkongsi berita gembira apabila dia akan mementaskan semula naskhah agung teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) pada tahun hadapan.
Jelasnya, teater itu akan kekal dipentaskan di Istana Budaya seperti yang dijadualkan pada tahun lalu.
“Sekitar pertengahan tahun. Semua yang pegang tiket menanti, tak mahu refund.
“Insya-Allah, Istana Budaya. Alang-alang, kami nak audition semula, supaya dapat yang terbaik untuk watak, semua karakter,” katanya.
Perkembangan itu dikongsikan Tiara ketika tampil sebagai tetamu sesi bual bicara, Aku Pelakon Terbaik yang diadakan secara langsung di laman Instagram Wartawan Hiburan Malaysia semalam.
Teater PGLTM sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 Julai tahun lalu namun ditangguhkan.
Penangguhan tersebut dilakukan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan besar kepada persiapan teater tersebut.
“Puteri sudah jumpa… tetapi Insya-Allah nanti announcement dia.
“Saya tak sabar, nak arahkan versi baharu. Puteri itu sebahagian diri saya. Saya kenal bau, gerak tubuh, cara fikir dan saya mahu ia menjadi versi yang lebih baik,” jelasnya. – MalaysiaGazette