Home Nasional Polis tidak tutup kes Ebit Lew – Abd Jalil

Polis tidak tutup kes Ebit Lew – Abd Jalil

Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup siasatan membabitkan kes gangguan seksual mengaitkan seorang pendakwah terkenal, Ebit Lew atau Ebit Irawan Ibrahim Lew.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, namun tiada maklumat terkini berkaitan kes ini setakat ini.

“Ingin ditegaskan bahawa kes ini tidak pernah ditutup oleh polis dan tidak pernah ada rujukkan untuk NFA (Tiada tindakan lanjut).

“Siasatan kes berkenaan masih lagi diteruskan oleh polis (Bahagian D11) dan pihak polis sentiasa mengalukan maklumat-maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pada awal Oktober lalu, Abdul Jalil dalam kenyataan mengesahkan Ebit telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk kali kedua bagi diambil keterangan dalam kes terbabit.

Pendakwah berkenaan telah hadir bersama isterinya untuk disoal siasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.

Sehubungan itu, Abd Jalil menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa jua bahan di mana-mana platform bagi mengelak sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan polis.

Sebelum itu, Bukit Aman mengesahkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan ekoran sebuah video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi media sosial mengaitkan seorang pendakwah terkenal.

Pada September lalu, Abd Jalil ketika dihubungi MalaysiaGazette juga menegaskan polis masih dalam proses mengumpul segala bukti bagi melengkapkan siasatan dakwaan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal tempatan, Ebit Lew.

“Kita (Bukit Aman) masih dalam proses mengumpul bukti-bukti penting untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Namun, pada masa yang sama, kita menyeru mana-mana individu di luar yang mempunyai maklumat tentang kes ini tampil segera di mana-mana balai polis yang berdekatan dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sebagai membantu siasatan,” katanya.

Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.-MalaysiaGazette