Home Nasional Sesi ketiga dos penggalak untuk Ahli Parlimen esok

Sesi ketiga dos penggalak untuk Ahli Parlimen esok

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 akan menerima suntikan itu di Klinik Kesihatan Parlimen, esok.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pemberian itu adalah sesi ketiga dos tersebut kepada Ahli Parlimen.

“Seperti yang semua sedia maklum, Kementerian Kesihatan (KKM) ada memberi dos penggalak kepada Yang Berhormat pada 2 dan 11 November lalu.

“Bagi yang belum menerima suntikan itu, esok diadakan sesi ketiga mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di Klinik Parlimen Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemakluman sebelum bermula sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bermula di seluruh negara 13 Oktober lalu untuk individu yang sudah mendapat dos lengkap vaksin, bagi memastikan imuniti diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta. – MalaysiaGazette