Home Ekonomi Skim KWSP ditambahbaik bantu ahli cukup simpanan pada hari tua

Skim KWSP ditambahbaik bantu ahli cukup simpanan pada hari tua

Employees Provident Fund EPF i-Citra withdrawal RM5,000
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pelbagai langkah dan inisiatif telah, sedang dan akan dijalankan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu ahlinya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, selaras dengan usaha bagi membantu ahli meningkatkan kecukupan simpanan persaraan tersebut, penambahbaikan
berterusan ke atas skim KWSP telah dilaksanakan.

Jelas beliau, antaranya Pengeluaran Umur 55 Tahun dan Pengeluaran Umur 60 Tahun yang lebih fleksibel yang mana ahli boleh membuat pilihan bayaran pengeluaran sama ada
secara sekaligus, bulanan, dividen tahunan sahaja atau apa-apa amaun pada bila-bila masa.

Menurutnya, ia bertujuan untuk menggalakkan ahli memilih bayaran pengeluaran secara berkala atau bulanan dan dengan ini, simpanan ahli akan terus menerima dividen tahunan
dan dapat bertahan dengan lebih lama.

“Selain itu adalah tempoh tanggungan mencarum iaitu ahli dan majikan wajib mencarum sehingga umur 75 tahun, sekiranya ahli masih bekerja.

“Selain itu dengan menggalakkan ahli terus kekal aktif bekerja dan majikan mengambil pekerja berumur 60 tahun dan ke atas, KWSP tidak mengenakan apa-apa caruman kepada pekerja, manakala, majikan diwajibkan mencarum hanya sebanyak 4 peratus;

“KWSP turut memperkenalkan i-Saraan bagi membolehkan golongan yang bekerja sendiri atau mereka yang tiada pendapatan tetap mencarum secara sukarela kepada KWSP.

“Sebagai insentif, Kerajaan menyumbang 15 peratus daripada caruman, tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun,” katanya pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Datuk Che Abdullah Bin Mat Nawi (Tumpat-Pas) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan pelan strateginya untuk menyokong keselamatan persaraan rakyat yang semakin kecil berikutan kebenaran pengeluaran wang KWSP dalam pelbagai skim di bawah pakej ransangan ekonomi.

Mohd. Shahar menambah, KWSP turut memperkenalkan I-Suri bagi bertujuan menjaga kebajikan golongan wanita khususnya suri rumah, dengan matlamat menyediakan simpanan untuk kegunaan hari tua.

Jelas beliau, KWSP akan memperkenalkan pengeluaran baharu pada tahun ini untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau takaful seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Ujarnya, pengeluaran itu dijangka memberi manfaat untuk perlindungan diri sendiri dan keluarga bagi penyakit kritikal dan kematian;

“KWSP juga menyediakan khidmat nasihat secara percuma berhubung perancangan dan pengurusan simpanan persaraan melalui Retirement Advisory Service (RAS) sejak tahun 2014.

“Selain itu, Belanjawanku telah dilancarkan iaitu satu panduan perbelanjaan minimum bulanan atas kategori dan perkhidmatan untuk pelbagai isi rumah untuk membantu perancangan perbelanjaan peribadi dan keluarga.

“Kerajaan akan terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat ini dapat kembali ke tahap yang sepatutnya,” katanya. – MalaysiaGazette