Home Sukan Azhad Harraz dilamar Sabah FC?

Azhad Harraz dilamar Sabah FC?

Azhad Harraz Arman (kiri).

KUALA LUMPUR – Penyerang muda negara, Azhad HarrazĀ  Arman dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Azhad Harraz dikatakan ditawar kontrak selama dua tahun dan sekiranya dia menyertai Sabah, pemain kelahiran Semporna itu akan dihantar semula ke Skuad Projek FAM-MSN secara pinjaman untuk memperoleh minit bermain yang mencukupi.
Dia menjadi antara penyerang tempatan yang menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Premier di mana menjaringkan lapan gol dan hanya dibezakan satu gol dengan Nurshamil Abdul Ghani yang muncul sebagai penjaring terbanyak pemain tempatan dalam saingan divisyen dua.

Meskipun beraksi dengan pasukan yang baru saja dibentuk dan rakan sepasukan berada dalam kategori umur yang sama dengannya, namun perkara itu tidak menghalang Azhad menampilkan prestasi terbaik.

Aksi cemerlang bersama skuad Projek FAM-MSN juga berjaya menarik perhatian ketua jurulatih skuad B-22 tahun negara, Brad Maloney untuk menyenaraikannya dalam pasukan yang menghadapi saingan peringkat kelayakan AFC B-23 Tahun di Ulaanbaatar, Mongolia bulan lalu.

Azhad juga diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand yang mana keputusan berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Sementara itu, Sabah FC kini dilihat serius dalam melakukan persiapan bagi menghadapi saingan musim 2022 yang mana kelab itu dikaitkan dengan perpindahan beberapa nama besar dalam saingan Liga Malaysia.

Antara pemain yang dikaitkan dengan kelab dari Borneo itu ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali selain dua pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia iaitu Irfan Fazail dan Khairul Fahmi Che Mat.

Musim depan, Datuk Ong Kim Swee masih lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan itu setelah mengambil alih tugas daripada Kurniawan Dwi Yulianto pada pertengahan musim ini. – MalaysiaGazette