GEORGE TOWN – Pelaksanaan koridor perjalanan antara Indonesia dan Malaysia melalui Aturan Koridor Perjalanan (TCA) atau Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) dijangka mampu merancakkan sektor pelancongan di negara tersebut.
Selain itu, Konsul General Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto berkata, trend penurunan jangkitan Covid-19 antara kedua-dua negara turut mendorong kerajaan masing-masing menggubal dasar bagi memudahkan pergerakan rakyat.
Bambang Suharto berkata, sejajar dengan pertemuan Perdana Menteri dua negara pada 10 November lalu, VTL antara Malaysia yang dijangka dilaksanakan bermula awal tahun depan diharapkan dapat memberi impak positif kepada destinasi pelancongan di Indonesia.
“Buat masa ini, Bali dipilih menjadi titik permulaan bagi memulihkan industri berkaitan pelancongan seperti mana gelembung pelancongan di Langkawi.
“Bagaimanapun, kesihatan pelancong asing adalah syarat utama bagi melawat Indonesia,” katanya ketika berucap pada Majlis Promosi Parawisata dan Kuliner Indonesia 2021 di Pulau Tikus di sini, hari ini.
Menurut Bambang Suharto, kesihatan dan keselamatan kedua-dua pelancong asing dan rakyat Indonesia menjadi kewajipan mutlak berikutan wabak Covid-19 masih belum berakhir.
“Berikutan itu, protokol kesihatan mesti dilaksanakan dengan ketat dan berdisiplin, termasuk proses apabila pelancong berkunjung ke Indonesia,” katanya.
Mengulas lanjut Bambang Suharto berkata, berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Indonesia pada tahun 2020 hanya seramai 4.09 juta berbanding 16.11 juta pada 2019.
“Manakala jumlah pelancong Malaysia yang berkunjung ke Indonesia pula, turun sebanyak 67 peratus daripada 2.9 juta pada 2019 kepada 980,000 pada tahun 2020.
“Dari segi data penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pula, kira-kira 255,000 pelancong datang dari negeri itu ke Indonesia pada 2018 dan meningkat kepada 272,000 orang pada tahun 2019.
“Sebelum pandemik, terdapat penerbangan terus dari Pulau Pinang ke beberapa bandar di Indonesia seperti Jakarta, Medan, Surabaya dan Bandung jadi kami berharap penambahbaikan dapat berlaku selepas pandemik,” kata beliau.
Media tempatan pada 10 November lalu melaporkan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui TCA atau VTL dijangka awal tahun depan.
Pelaksanaan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya, Joko Widodo dalam satu kenyataan bersama.
Ismail Sabri berkata, sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara sebelum boleh ditambah destinasi lain yang menunjukkan risiko yang rendah. – MalaysiaGazette