KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) sentiasa memberi perhatian dalam usaha pengembangan dan kelestarian tulisan Jawi.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, JWN telah memohon sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan program pengembangan tulisan Jawi di bawah kempen kenali, sayangi dan lestarikan warisan negara.
“Tulisan Jawi telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada pada 12 November 2009.
“Bagi memastikan ianya sentiasa dipelihara dan dilindungi sewajarnya sebagai khazanah warisan negara, selain beberapa dokumen yang dinyatakan, telah mendapat pengiktirafan UNESCO di bawah Category Memory of World (CMW),” kata Nancy menjawab perbahasan Bajet 2022 bagi kementeriannya, di Parlimen, petang ini.
Menurut Nancy, MOTAC menyambut baik cadangan agar lebih banyak usaha berkaitan tulisan Jawi diberi perhatian di tanda jalan dan papan iklan.
Namun, katanya, perkara itu perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa terlibat termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu, MOTAC turut menerbitkan risalah dan menggunakan aplikasi digital dalam memperkasakan penggunaan bahasa Jawi
“Bagaimanapun, penggunaan tulisan Jawi di papan tanda di kawasan pelancong pada umumnya di bawah PBT,” katanya.
Mengenai inap desa, beliau berkata, memang ia salah satu produk pelancongan desa yang terdapat di Malaysia dan mendapat perhatian pelancong antarabangsa.
Menurut beliau, sejak kebelakangan ini segmen pelancongan itu menjadi amat berpotensi dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi terutama bagi masyarakat luar bandar terutama ketika pandemik Covid-19 kerana ramai melancong dalam negara.
“Selain itu, kementerian juga telah mewujudkan insentif bagi membantu penggiat seni industri pelancongan yang akan memulakan semula perniagaan pada pasca pandemik Covid-19.
“Insentif yang ditawarkan ialah Skim Infrastruktur Pelancongan (SIP) di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad (SME), tabung khas pelancongan dan perniagaan pelancongan serta insentif galakan cukai.
“Kita juga memberi bantuan untuk menaiktaraf kemudahan guna sama infrastruktur asas di perkampungan inap desa yang berdaftar untuk keselesaan dan kepuasan pelancong yang menginap,” katanya. – MalaysiaGazette