Home Utama Warga emas buat hubungan seks dengan kambing didakwa hari ini

Warga emas buat hubungan seks dengan kambing didakwa hari ini

Warga emas berusia 60 tahun yang ditahan kerana mengadakan hubungan seks luar tabii dengan kambing sehingga haiwan peliharaan itu mati dibawa ke mahkamah untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2021.

KUALA KUBU BHARU – Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dengan seekor kambing betina untuk melempiaskan nafsunya di Kampung Sungai Buaya, Rawang pada Julai lalu.

Tertuduh, Shaari Hasan, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Mardihah Mohamed Redza.

Kes didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 289 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang juga seorang penganggur boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju kemeja bercorak daun warna-warni itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9.20 pagi tadi dengan menaiki kenderaan PDRM dan diiringi anggota polis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 27 Julai 2021 kira-kira pukul 1.30 tengah hari disyaki melakukan hubungan seks luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga haiwan itu mati dalam di Kampung Sungai Buaya, Rawang.

Kejadian itu disedari seorang wanita yang juga pemilik kambing terbabit, selepas mendengar ternakannya yang berada di belakang rumah mengeluarkan bunyi pelik.

Dia kemudian keluar untuk memeriksa keadaan haiwan peliharaannya itu dan mendapati seorang lelaki bangun dari sebelah kambingnya dalam keadaan separuh bogel sebelum lelaki itu melarikan diri.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Selangor, Siri Khadijah Amir Hamzah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan kes itu sangat serius.

Warga emas itu yang diwakili peguam Zolazrai Zolkapli berkata, kehadiran anak guamnya ke mahkamah hari ini seorang diri tanpa ahli keluarga.

Majistret kemudiannya menetapkan 24 Disember 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes itu. – MalaysiaGazette