KUALA LUMPUR Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Oktober naik 2.9 peratus kepada 123.7 berbanding 120.2pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan ini disebabkan peningkatan dua digit 11.3 peratus dalam kumpulan pengangkutan selaras dengan kenaikan harga minyak global, harga purata RON97 juga meningkat kepada RM2.84 berbanding RM1.97 pada Oktober 2020.
Pada masa yang sama, indeks bagi perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain meningkat 3.2 peratus dengan kenaikan tertinggi dicatatkan oleh subkumpulan elektrik, gas & bahan api lain (27.6%).
Tambahan pula, indeks hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi Rumah (2.1%) dan makanan & minumanbukan alkohol (1.9%) juga menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan.
Sementara itu, kumpulan lain, restoran & hotel, minuman alkohol & tembakau, perkhidmatan rekreasi & kebudayaan dan kesihatan merekodkan peningkatan marginal antara 0.2 peratus dan 0.6 peratus.
Komunikasi kekal tidak berubah manakala pakaian & kasut dan pelbagai barangan & perkhidmatan masing-masing menurun 0.4 peratus dan 0.2 peratus.
Pendidikan juga merekodkan penurunan marginal 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi pada bulan seterusnya juga akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti kenaikan kedua-dua harga minyak dunia dan harga makanan.
Tambahan pula, pembukaan perjalanan rentas negeri dijangka memberi kesan bagi beberapa kumpulan berkaitan pelancongan.
Beliau berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021 menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama
tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.7 peratus berbanding September 2021disumbangkan oleh perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (2.5%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.4%).
Kedua-dua pelbagai barangan & perkhidmatan dan restoran & hotel merekodkan peningkatan marginal 0.3 peratus.
Kenaikan ini adalah kesan daripada penamatan diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan
Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk tempoh tiga bulan yang berakhir pada30 September 2021.
Sementara itu, IHP tanpa bahan api meningkat 1.5 peratus pada Oktober 2021 kepada 114.3 berbanding 112.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol RON95, petrol RON97 dan diesel.
Secara keseluruhan, kesemua negeri telah mencatatkan peningkatan IHP pada Oktober 2021.
Sembilan negeri iaitu iaitu Terengganu (3.9%), Pahang (3.7%), Kelantan (3.6%), Perak (3.4%), Negeri Sembilan (3.2%), Kedah & Perlis (3.2%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1%), Johor (3.1%) dan Melaka (3.1%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.9 peratus pada Oktober 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7%), diikuti oleh Terengganu (2.6%), Pahang (2.5%), Kelantan (2.4%), Perak (2.4%), Johor (2.2%), Melaka (2.0%) dan Negeri Sembilan (1.9%).
Sementara itu, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol nasional iaitu 1.9 peratus pada Oktober 2021. – MalaysiaGazette