Home Nasional Mahkamah tolak permohonan Muhyiddin, Puad

Mahkamah tolak permohonan Muhyiddin, Puad

Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menolak dua permohonan membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril  menolak permohonan Muhyiddin mendapatkan perintah injuksi Mohd Puad menerbitkan kembali kenyataan fitnah terhadapnya berkait dengan perintah kuarantin di akaun Facebook miliknya.

Selain itu, hakim turut menolak permohonan Mohd Puad ketepikan perintah injuksi interim ex parte yang sebelum ini telah diperoleh oleh Ahli Parlimen Pagoh itu pada Mac lalu berkait kes yang sama.

“Defenden (Mohd Puad) telah mematuhi perintah injuksi dengan padam kenyataan dari Facebook beliau, kenyataan yang dipertikaikan itu sudah dipadamkan jadi saya tidak cenderung dalam benarkan permohonan ini,” katanya hari ini di hadapan peguam Mohd Puad, G. Rajasingam dan Shahrul Fazli Kamarulzaman.

Tan Sri Muhyiddin Yassin .

Manakala Muhyiddin pula diwakili oleh peguam Rosli Dahlan dan Datuk DP Naban.

Pada 9 Februari lepas, Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Mohd Puad telah menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama “DrPuad Zarkashi” bertajuk ‘Kuarantin Pun Ada Dua Darjat?.

Menurut Muhyiddin, hantaran yang dimuat naik oleh Mohd Puad itu boleh diakses oleh semua pengguna seluruh dunia malah telah lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Hantaran itu juga dakwa Muhyiddin merujuk kepada “PM” iaitu singkatan kepada perdana menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan yang jelas sekali tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta memfitnahnya.

Jelas dalam writ itu, Mohd Puad memfitnah dengan membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia sedangkan mereka semua sedang menjalani kuarantin pada masa tersebut.

Pada 5 Mac pula, Mohd Puad memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi itu.

Muhyiddin memohon perintah mahkamah supaya Mohd Puad menerbitkan permohonan maaf secara terbuka di Facebook rasminya dan bagi memastikan permohonan maaf itu disiarkan portal berita dan media sosial yang menyiarkan hantaran terbabit.

Dalam pernyataan pembelaan, Mohd Puad mendakwa hantaran di Facebook itu itu tidak pernah merujuk kepada Muhyiddin, sama ada dalam kapasiti peribadi atau rasmi.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi juga menetapkan 9 Dis ini untuk pengurusan kes saman tersebut. – MalaysiaGazette