KUALA LUMPUR – Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) di bawah MyCreative Ventures Sdn Bhd dengan kerjasama Joe Sidek Productions melancarkan Festival KLWKND yang berlangsung dari 25 hingga 28 November 2021 di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.
KLWKND merupakan inisiatif memperkasakan sektor seni dan budaya negara bagi membolehkan Keluarga Malaysia menghayati dan menghargai karya seni kreatif tempatan dimulakan dengan ‘Opera Serikandi Nusantara’, Art In The City 2021.
Opera Serikandi Nusantara dipersembahkan dalam bentuk resital vokal, koir dan piano dengan elemen folklore Melayu dan Nusantara iaitu kombinasi melodi gamelan dengan elemen opera seperti ensembel koir bagi menceritakan kisah-kisah lagenda puteri-puteri Melayu seperti Puteri Ulek Mayang, Bidasari, dan Puteri Saadong.
Persembahan ini menampilkan bakat muzikal tempatan seperti Khairunnisa Diyana Md Noor (vokal – soprano), Chaing Yi Ling (Vokal – mezzo-soprano), Dr. Phang Kong Chien (vokal – tenor) dan pemenang anugerah UiTM Chamber Choir yang diketuai oleh Dr. Masashi Kishimoto bersama Dr. Bernard Tan (piano).
Persembahan prebiu Opera Serikandi Nusantara merupakan ‘teaser’ kepada persembahan penuh yang dijadual bakal ditayangkan pada pertengahan tahun 2022.
Menurut Pengerusi MyCreative Ventures, Ts. Noor Azmi Mat Sani, peranan kerajaan dalam memartabatkan sektor seni dan budaya di mata dunia adalah sangat penting, justeru, melalui inisiatif yang diperkenalkan melalui CENDANA dan agensi-agensi kerajaan yang lain akan menaikkan lagi martabat penggiat seni dan budaya negara di persada antarabangsa.
Acara seperti KLWKND ini yang dikurasikan khas oleh Pengarah Festival tersohor, Joe Sidek, dijangka melakar nama Malaysia di mata dunia sebagai acara tahunan yang boleh menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk menghayati acara kesenian dan kebudayaan negara.
Lebih penting lagi, Opera Serikandi Nusantara yang berdasarkan kepada hikayat lama ratusan tahun bakal menjadi karya yang mencerminkan dan memartabatkan aspirasi kesusasteraan negara.
Terdapat lebih 40 program yang telah dirangka sepanjang Festival KLWKND ini melibatkan persembahan dan karya daripada lebih 150 penggiat seni dan budaya tanah air di lapan lokasi termasuk Panggung Bandaraya, Pasar Seni, Gamuda Mall Bukit Bintang (GMBB), Muzium TM, REXKL, the RuMa Hotel dan beberapa lokasi lain di sekitar Kuala Lumpur.
Hasil tangan dan inisiatif kolektif para penggiat seni dan budaya negara dalambentuk seni batik, makanan tempatan dan istimewa, barangan kraf buluh, anyaman, penulisan, dan lukisan ini akan dapat dihayati di lapan lokasi yang berbeza tersebut.
Pengarah Festival KLWKND, Joe Sidek berkata KLWKND dirangka bertujuan untuk menjadi inklusif bagi ‘merakyatkan seni’, merangkumi program berbeza yang pasti ada sesuatu untuk semua orang. Ini dimungkinkan oleh begitu ramai rakan usaha sama dari pelbagai sektor yang datang menyertai kami, dan saya bersyukur mendapat sokongan, nasihat dan bantuan mereka dalam menyusun KLWKND.
Selain Opera Serikandi Nusantara, program KLWKND juga melibatkan ‘The Light Project’ serta beberapa program lainyang menarik. Masuk adalah percuma
termasuk:
1. Bamboo House di The Godown KL,
2. Best of Malaysian Craft,
3. Kicau Bilau di Pasar Seni,
4. Art of Film – Feature, persembahan seni filem oleh Amir Muhammad mengisahkan cerita bandaraya Kuala Lumpur mengunakan rakaman lama dan melayarkan filem-filem yang telah memenangi anugerah,
5. Memperkenalkan Sasterawan Negara di Panggung Bandaraya dengan mempersembahkan bacaan oleh sasterawan negara iaitu Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Mohd Anwar Rethwan, Datuk Dr. Zurinah binti Hassan, dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail
6. LOVE MY (Malaysia) Batik mempamerkan lukisan batik dari koleksi peribadi dan awam, di mana terdapat juga acara lukisan mural batik oleh lima artis visual di mana hasil kerja mereka akan disalurkan ke sekolah-sekolah terpilih di Malaysia.
Selain Festival KLWKND, CENDANA juga akan menganjurkan acara Pameran Digital Media SENSORii di RexKL, Jalan Sultan dari 1 -28 Disember 2021 dan Simposium Persidangan Kebudayaan Kebangsaan pada 11 dan 12 Disember di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette