Home Nasional Pulau Pinang bentang belanjawan defisit

Pulau Pinang bentang belanjawan defisit

Chow Kon Yeow (dua dari kanan) bentang belanjawan 2020 di DUN Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan perbelanjaan berjumlah RM935.22 juta bagi Belanjawan 2022.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, peruntukan mengurus tahun 2022 bagi negeri ini meningkat sebanyak RM25.40 juta atau kenaikan sebanyak 2.79 peratus berbanding bajet tahun 2021.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, belanjawan 2022 adalah belanjawan defisit berjumlah RM449.80 juta dan anggaran defisit itu akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM887.78 juta pada akhir tahun 2020.

Kata beliau, kerajaan negeri menganggarkan hasil bagi tahun 2022 yang boleh dikutip berjumlah RM485.42juta iaitu jangkaan jumlah hasil yang berkurangan sebanyak RM20.60 juta atau 4.07 peratus berbanding dengan tahun semasa 2021 yang berjumlah RM506.01 juta.

“Komposisi hasil tahun 2022 terdiri daripada hasil cukai RM165.71 juta atau 34.14 peratus, hasil bukan cukai RM219.59 juta atau 45.24 peratus dan terimaan bukan hasil sebanyak RM100.12 juta atau 20.62 peratus.

“Walaupun kutipan hasil tahun 2022 adalah terhad, namun Kerajaan Negeri masih perlu menyediakan bajet tahun 2022 setara dengan tahun 2021 untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang efektif dan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat dapat diteruskan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, perbelanjaan mengurus bagi tahun 2022 itu merangkumi perbelanjaan bagi emolumen berjumlah RM184 juta, perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM192.92 juta, aset berjumlah RM7 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap berjumlah RM548.86 juta dan perbelanjaan-perbelanjaan lain berjumlah RM2.44 juta serta perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 58.69 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

Jelas Kon Yeow, jumlah ini termasuk caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri berjumlah RM200 juta, pemberian di bawah program bantuan sosial dan kesejahteraan rakyat yang dianggarkan berjumlah RM95.49 juta, bayaran bagi badan-badan berkanun, anak-anak syarikat dan agensi berjumlah RM108.26 juta, bayaran pencen dan ganjaran berjumlah RM29 juta dan lain-lain pemberian.

“Antara sebab peningkatan di bawah bajet mengurus ini adalah kenaikan emolumen tahunan, pemberian geran kepada anak syarikat kerajaan negeri, pelaksanaan pelan pemulihan pasca-pandemik Covid-19 dan lain-lain.

“Kerajaan negeri sedar perbelanjaan mengurus negeri semakin meningkat pada tahun hadapan. Namun begitu, peningkatan ini adalah terkawal dan amalan perbelanjaan secara berhemah sentiasa diamalkan oleh jabatan-jabatan negeri,” kata beliau.

Tanbah Kon Yeow, kerajaan negeri tidak menafikan bahawa amaun defisit belanjawan 2022 adalah tinggi, namun Kerajaan Negeri optimis bahawa kutipan hasil negeri akan dapat ditingkatkan semula dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.

“Kerajaan negeri telah bersiap sedia dengan strategi bagi meningkatkan hasil negeri seiring dengan pemulihan ekonomi,” jelas beliau. – MalaysiaGazette