Home Politik Siapa pilihan calon Naib Presiden MIC?

Siapa pilihan calon Naib Presiden MIC?

Datuk T. Mohan.

KUALA LUMPUR – Kemenangan MIC di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pastinya memberi semangat kepada setiap ahli parti.

Malah pemilihan tiga jawatan Naib Presiden yang sedang ditandingi oleh enam calon pastinya ‘berwarna-warni’ pada petang ini.

Selain jawatan Naib Presiden, sebanyak 21 ahli ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu bagi penggal 2021-2024 juga dipertandingkan dan akan di pilih oleh lebih 20,000 daripada 140 bahagian perwakilan seluruh negara antara jam 4 petang hingga 7 malam ini.

Sememangnya sejak dulu lagi pemilihan barisan kepimpinan tertinggi pusat parti berusia 75 tahun itu diadakan serentak dengan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) namun pada tahun ini ia diadakan secara berasingan.

Untuk makluman, kali ini seramai enam calon jawatan Naib Presiden akan bertanding bagi merebut tiga tempat jawatan nombor tiga parti itu.

Antara yang akan bertanding termasuklah penyandang sebelum ini, Datuk T Mohan, Datuk C Sivaraajh dan Datuk T Murugiah manakala muka baharu bertanding bagi jawatan ini ialah Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan, Setiausaha Eksekutif A K Ramalingam dan Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan.

Secara umumnya, Mohan yang juga Ahli Dewan Negara di sebut-sebut sebagai antara pemenang memandangkan kekuataan beliau dalam kalangan akar umbi parti manakala Sivaraajh pula antara calon muda yang dianggap lantang dalam mempersoalkan pelbagai isu.

IMBAS KEMBALI. Datuk T.Mohan (tengah), Datuk Sivaraajh Chandran dan Datuk T. Murugiah (kanan) bergambar kenangan

Selain itu, Murugiah yang juga pernah menang jawatan Naib Presiden MIC sebelum ini juga mempunyai kekuataan dalam kalangan ahli dan serta akar umbi walaupun baru beberapa tahun menyertai parti sementara Ramalinggam bukanlah muka baharu sebaliknya antara favourite ahli-ahli sejak dulu lagi.

AK Ramalinggam

Selain itu, dua lagi pesaing iaitu Gunalan dan Asojan juga bakal memberi saingan sengit memandangkan mereka juga dikatakan antara dalam ‘senarai presiden’ dan mampu mencapai kemenangan luar biasa kali ini.

Sehingga artikel ini ditulis, ramai masih belum dapat meramal dengan tepat siapakah sebenarnya yang akan menang pada pertandingan kali ini.

Dalam pada itu, seramai 60 calon lagi merebut 21 ahli CWC pada pemilihan kali ini termasuk bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; bekas setiausaha parti, Datuk Sakthivel Alagapan; bekas Ketua Pemuda MIC, Thinalan Rajagopal dan Datuk N. Muneandy.

Sebelum ini, Tan Sri S A Vigneswaran dan Datuk Seri M Saravanan masing-masing berjaya mempertahankan jawatan mereka sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan berkenaan tanpa bertanding. -MalaysiaGazette