Home Utama Baik tingkat skim gaji daripada naik had umur persaraan

Baik tingkat skim gaji daripada naik had umur persaraan

Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpandangan tiada keperluan untuk kerajaan meningkatkan had umur persaraan sedia ada bagi pekerja dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Walaupun perkara itu disyorkan  oleh Bank Dunia tetapi pihaknya mendesak kerajaan mendahulu perkara lain yang perlu diutamakan, kata presidennya, Datuk Adnan Mat.

“CUEPACS berpendapat had umur persaraan sedia ada iaitu 60 tahun sudah cukup memadai bagi keperluan semasa di negara ini.

“Sebarang bentuk cadangan untuk meminta kerajaan mengkaji semula meningkatkan had umur persaraan sedia ada tidak wajar dilontarkan oleh mana-mana pihak memandangkan situasi semasa negara yang tidak sama dengan negara-negara maju di wilayah lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, ketika ini kerajaan sedang berhadapan dengan kekangan kewangan apabila banyak peruntukan disalurkan untuk memulihkan semula ekonomi dan membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan ketika ini juga menyaksikan ramai rakyat yang masih lagi menganggur serta sukar mencari peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan.

“Situasi ekonomi yang tidak begitu baik juga mengakibatkan peluang pekerjaan baru di sektor swasta juga tidak dapat memenuhi permintaan dalam pasaran buruh semasa negara.

“Setiap tahun juga ratusan ribu graduan baru dilahirkan untuk memasuki pasaran kerja dan mereka ini turut berharap dapat menikmati pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

“Jika kita terus meningkatkan had umur persaraan sedia ada, ia sudah tentu menyukarkan golongan muda mendapat peluang kerja yang baik,” ujarnya.

Malah jelas Adnan, pihaknya tidak mahu wujud situasi golongan muda terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan sehingga mengakibatkan taraf hidup rakyat tidak meningkat walaupun negara semakin maju.

“Justeru itu, CUEPACS berpendapat cadangan untuk meningkatkan had umur persaraan sedia ada tidak sesuai dilakukan dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari sekarang sehingga keadaan ekonomi negara semakin kukuh dan berkembang dengan baik.

“Dalam hal ini adalah lebih baik kerajaan mencari jalan bagi meningkatkan dan memperkasakan skim gaji yang dinikmati oleh warga pekerja supaya taraf hidup semasa rakyat bertambah lebih baik sesuai dengan kos sara hidup semasa.

“Gaji minimum semasa RM1,200 perlu ditingkatkan dengan segera agar selari dengan hasrat kerajaan mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada RM10,000 sebulan pada tahun 2025 dapat dicapai dengan komprehensif untuk semua rakyat.

“Apabila gaji/pendapatan rakyat dapat ditingkatkan, sudah tentu simpanan untuk hari tua juga dapat ditingkatkan sekali gus membolehkan rakyat kekal menikmati hidup baik selepas persaraan kelak,” tegas beliau.- MalaysiaGazette