Home Nasional Bukit Aman kempen elak jadi mangsa penipuan dalam talian

Bukit Aman kempen elak jadi mangsa penipuan dalam talian

Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JSJK, SAC Tuan Nor Azman Muhammad Yusuf mengedarkan risalah sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial kepada pengguna di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman giat memperkasakan kempen pencegahan jenayah komersial membabitkan sindiket penipuan dalam talian di negara ini.

Usaha itu dilaksanakan secara  besar-besaran untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan siber.

Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JSJK, Senior Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf berkata, menerusi kempen pencegahan jenayah itu, para anggotanya akan mengedarkan risalah mengenai trend penipuan yang dilakukan.

Antara sindiket di negara ini untuk menjerat mangsa tanpa mengira jantina dan kedudukan antaranya melibatkan Macau Scam, African Scam Love Scam dan pembelian dalam talian dan pelaburan serta pinjaman tidak wujud.

Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JSJK, SAC Tuan Nor Azman Muhammad Yusuf mengedarkan risalah sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial kepada pengguna di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 NOVEMBER 2021.

“Kita mengedarkan risalah yang mengandungi artikel berkaitan nasihat serta tenik yang digunakan sindiket untuk memperdaya seseorang mangsa dalam talian.

“Maka, kami dalam risalah itu menyenaraikan jenis dan tips untuk mengenalpasti penipuan sindiket dan cara mengelak ditipu dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Diharap segala input mengenai penipuan dalam talian ini dengan pembacaan serta perbualan ringkas antara anggota dengan masyarakat dapat memberi kefahaman kepada mereka seterusya berkongsi dengan ahli keluarga mengenai penipuan (dalam talian) yang sering berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di Plaza Tol Jalan Duta lewat pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan risalah sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial kepada pengguna iaitu pemandu di Plaza Tol berkenaan (Arah Selatan) hari ini dengan kerjasama PLUS.

Dalam perkembangan sama, Nor Azman menambah, pelaksanaaan kempen berkenaan sejak 1 November lalu telah menerima sambutan yang baik daripada rakyat.

Walaupun masih belum ada kesedaran menyeluruh, pihaknya yakin tahap pemahaman orang ramai dalam soal berkenaan akan terus meningkatkan menerusi program berkenaan sekaligus mengurangkan kadar jenayah penipuan dalam talian.

“Sejak dilaksanakan selama sebulan ini terdapat trend penurunan daripada segi laporan yang diterima oleh JSJK mengenai jenayah penipuan dalam talian sehingga hari ini.

Anggota polis mengedarkan risalah kepada penunggang motosikal sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 NOVEMBER 2021.

“Pun begitu, kami berpendapat  ia masih tidak cukup dan usaha ini akan terus dilipatgandakan untuk menyampaikan mesej jelas PDRM bagi melindungi rakyat supaya terus berwaspada dan peka dengan jenayah sekeliling dan tidak mudah terjerat dalam pujuk mana-mana individu tidak dikenali,” ujarnya.

Minggu lalu, program sama yang dilaksanakan di Pusat membeli belah Sunway Pyramid bahawa tahap kesedaran masyarakat terhadap penipuan dalam talian masih rendah apabila statistik JSJK menunjukkan kes naik mendadak sejak tahun 2020.- MalaysiaGazette