Home Nasional KPDNHEP Johor keluarkan 64 notis siasat aduan kenaikan harga sayur

KPDNHEP Johor keluarkan 64 notis siasat aduan kenaikan harga sayur

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan sebanyak 64 notis kepada peniaga sayur untuk menyiasat aduan berkaitan kenaikan harga.- Gambar hiasan.
JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan sebanyak 64 notis kepada peniaga sayur untuk menyiasat aduan berkaitan kenaikan harga.
Ia berkaitan harga sayrukan seperti tomato, lobak, kubis bulat dan cili merah.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro dalam kenyataan memberitahu, pihaknya mengeluarkan notis  bagi mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Kenyataan itu turut memberitahu sebanyak 10 aduan telah diterima berkaitan kenaikan harga telah disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan dikenakan tindakan kompaun.

“KPDNHEP Johor maklum akan kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian seperti barang basah dan barang segar di lokasi tumpuan seperti pasar awam dan pasar basah.

“Ini berikutan pembukaan semula hampir keseluruhan sektor ekonomi perniagaan selain kebenaran pergerakan rentas negeri serta kebenaran mengadakan majlis keraian bermula 11 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sehubungan itu, KPDNHEP Johor mempergiatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di seluruh Johor melibatkan semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan juga pasaraya yang menjual barangan basah dan segar dalam Ops Pasar 2021.

Tambah kenyataan itu, pelaksanaan Ops Pasar di sekitar Taman Universiti hari ini juga bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama seperti sayur, ikan, daging dan ayam di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran.

“Pemeriksaan dibuat melibatkan peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasaraya) dan pembekal (pemborong, peladang, pengeluar, pengimport) agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Hasil pemantauan mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi dan mudah diperolehi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” tambahnya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 5,687 premis diperiksa meliputi 4,193 peruncit; 1,061 pemborong dan 433 pengilang oleh KPDNHEP Johor sejak negeri ini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 Oktober lalu.-MalaysiaGazette