KUALA LUMPUR – Rata-rata peniaga dan pengguna masing-masing melahirkan rasa kecewa berikutan harga barangan terutamanya barang basah yang masih belum stabil atau dipulihkan.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit mendapati hampir kesemua peniaga menjual sekilogram ayam pada harga RM9.50 sementara kubis bulat pula dijual sehingga RM5.50 sekilogram.
Menurut peniaga ayam, Mohd Yusof Husin, 50, harga ayam kini bukan sahaja mahal malah peniaga terpaksa menanggung kerugian berikutan jumlah jualan yang semakin merosot.
Katanya, sebelum ini dia mampu menjual sehingga 300 kilogram ayam dalam masa sehari namun kini hanya sekitar 100 kilogram sahaja yang dibeli oleh pelanggan.
“Sekarang meniaga pun main susut tapi harga ayam semakin naik. Pelanggan juga asyik merungut kerana harga sekilogram ayam terlalu mahal sehingga RM9.50.
“Dalam sejarah memang tak pernah sampai RM9.50, saya sendiri sudah berniaga hampir 30 tahun tapi kali ini harga boleh cecah sebegitu tinggi,” katanya ketika ditemui di Pasar Chow Kit di sini hari ini.
Tambah Mohd Yusof, kerajaan harus mengambil tanggungjawab dalam mengawal harga barangan yang semakin meningkat naik terutamanya harga ayam kerana rakyat ketika ini sedang hidup susah akibat impak pandemik Covid-19.
“Kebanyakan ayam yang sampai memang besar semuanya, kalau seekor sudah lebih dua kilogram berapa harga yang perlu pelanggan bayar? Kadang kala sampai RM27 tapi itu baru beli ayam sahaja tak masuk barangan lain.
“Harga ayam memang mahal sangat sampai orang dah tak mampu nak beli lagi dan kerajaan tolong lah stabilkan kembali harga ayam di pasaran jika boleh turun sehingga RM8 pun sudah cukup bagus,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga sayur, Yau Heng, 41, berkata, sekiranya harga sayur semakin tinggi, tidak mustahil pembeli juga akan semakin berkurangan.
“(Kerajaan) tolong stabilkan semula (harga) supaya semua orang dapat berniaga dan untung yang berpatutan. Harga kalau boleh jangan terlalu tinggi atau rendah.
“Paling ketara harga kubis bulat yang dijual RM70 bagi satu beg dan kita perlu keluarkan modal sekitar RM4.50 bagi sekilogram dan jual antara RM5 sehingga RM5.50.
“Sebelum ini harga kubis hanya RM2.50 sekilogram dan kini mencecah RM5.50, memang lari bajet dan embeli pun fikir banyak kali sebelum mahu beli dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Suhaimi Ramli, 47, berharap kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat mengawal dan menstabilkan semula harga barangan di pasaran yang dilihat semakin tidak masuk akal.
Jelas Suhaimi, rakyat juga perlu melihat semula setiap perbelanjaan dengan lebih teliti supaya mereka tidak menanggung beban akibat kenaikan harga barang.
“Sebagai pengguna memang kita semua perlukan makanan, jadi terpaksa hadap juga lah dengan kos kenaikan barang mentah dan saya sendiri sebagai kakitangan awam kena berbelanja lebih sedikit untuk beli barang.
“Saya juga mula mengawal perbelanjaan harian memandangkan barang basah yang meningkat maka secara tidak langsung harga makanan yang dijual di kedai juga akan naik,” ujarnya.
Suhaimi berkata, kerajaan juga harus lebih jujur dan bertanggungjawab dalam menangani isu kenaikan harga barang yang berlaku hampir di seluruh negara.
“Kita kena fikir jika pembelian melebihi pendapatan sebulan seseorang individu itu jadi ia akan beri masalah kepada rakyat di luar sana,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Azarim Md Arif, 45, berkata, setiap kementerian yang berkaitan harus memainkan peranan masing-masing dengan turun padang dan memantau harga barangan.
“Memang terasa (kenaikan harga) tapi sebagai rakyat apa boleh kami buat? Biasa saya beli ayam kampung sekitar RM10 atau RM11 sekilogram tapi sekarang sampai RM13.
“Mereka peniaga pun harga barang yang sampai memang sudah mahal jadi takkan mereka mahu jual murah?,” katanya.
Semalam media melaporkan, kerajaan akan mengumumkan keputusan mengenai bantuan kewangan kepada pemain industri pertanian dalam masa terdekat, sebagai kaedah meringankan beban kos operasi yang telah memberi impak kepada harga barangan di pasaran.
Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sudah mengemukakan cadangan tersebut kepada Kementerian Kewangan (MOF) Rabu lalu.
“Sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan dengan MOF. MOF secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan saranan cadangan daripada kedua-dua kementerian.
“Sebarang keputusan berkaitan bantuan kewangan kepada pemain industri akan diumumkan oleh MOF,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette