Home Nasional Harga di Pahang naik tapi melibatkan sayur import – KPDNHEP

Harga di Pahang naik tapi melibatkan sayur import – KPDNHEP

Ops Sayur mula dilaksanakan oleh Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang mendapati terdapat beberapa jenis sayur yang mengalami sedikit kenaikan harga namun tidaklah terlalu tinggi seperti yang dilaporkan oleh media.

Pengarahnya, Datuk Mark Ujin berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan khas dalam Ops Pasar ke beberapa lokasi utama yang menjadi tumpuan pengguna di negeri ini mendapatkan bekalan sayur-sayuran bermula hari ini, kesinambungan daripada operasi dahulu yang berjaya membendung manipulasi harga sayur oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, analisa harga purata ke atas data kutipan harga sayur harian di 50 premis perniagaan terpilih di seluruh Pahang oleh 80 orang Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDNHEP Pahang juga mendapati kenaikan harga bagi beberapa jenis sayur di pasaran Negeri Pahang masih di dalam julat harga yang munasabah.

Sebanyak dua notis pengesahan maklumat barangan dan dua notis bertulis telah diserahkan kepada pihak peniaga bagi mendapatkan maklumat trend harga dan perbekalan sayur di negeri Pahang.

Kata Mark, FAMA Pahang dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang antara agensi yang turut terlibat dan bertanggungjawab ke atas bekalan dan harga sayur-sayuranjuga memberi maklum balas dari sudut pandangan berkenaan terhadap isu tersebut.

Tambahnya hasil kajian yang dijalankan oleh agensi mendapati, antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga disebabkan negara pengeksport sayur sedang dilanda fenomena cuaca sejuk melampau mengakibatkan kekurangan bekalan sayur import negara.

“Selain itu, kebergantungan terhadap bekalan sayur import di negeri Pahang yang terlalu tinggi hingga mencecah 70% berbanding hasil ladang tempatan yang hanya dapat menampung 30% permintaan pengguna di negeri ini.

“Hasil tuaian di ladang sayur tempatan telah memasuki peringkat akhir tanaman. Tiada tanaman semula sehingga tamat musim tengkujuh,” katanya di sini.

Dalam pada itu, kata Mark juga menjelaskan kenaikan harga yang berlaku adalah melibatkan sayur-sayuran yang diimport.

“Bagi sayur-sayuran tempatan, walaupun bekalan agak terjejas dek perubahan cuaca negara ketika ini, ianya tidaklah menyumbang kepada kenaikan harga sayur yang melampau di pasaran seperti yang digembar-gemburkan.

“KPDNHEP negeri Pahang mengingatkan kepada semua para peniaga agar tidak menangguk di air keruh rentetan daripada situasi bekalan sayur ketika ini dan sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

Sehingga kini, KPDNHEP Pahang telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 50,551 premis perniagaan melibatkan semua peringkat perniagaan di seluruh negeri Pahang.

Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 650 kes telah dikompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM372,050.00 dan nilai rampasan sebanyak RM469,545.00. – MalaysiaGazette