Home Nasional Jangan persoal kemasukan pengembara VTL – Hasni

Jangan persoal kemasukan pengembara VTL – Hasni

Ea

KOTA ISKANDAR – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menempelak pembangkang yang mempertikai jumlah pengembara yang dibenarkan melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) yang disifatkan terlalu sedikit.

Beliau berkata, apa yang lebih utama adalah kedua-dua negara telah membuka sempadan.

“Singapura akan mula dibuka esok melalui kaedah VTL.

“Tidak perlulah untuk kita mempersoalkan bilangan orang yang dibenarkan merentas sempadan. Sama ada 1,440 orang itu terlalu kecil bilangannya, mahu pun mempersoal mengapa perlu dikenakan ujian dipintu masuk, sedangkan Singapura tidak berbuat demikian.

“Yang penting, sempadan Johor-Singapura sudah dibuka dan dalam masa terdekat keadaan akan kembali hampir seperti sebelum penutupannya. Insya-llah,”katanya katanya pada hari terakhir Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini hari ini.
embe

Hasni terdahulu berkata, Johor bersedia menerima masuk seramai 1,440 individu pada minggu pertama VTL darat di antara Malaysia dengan Singapura jika dilaksanakan serentak dengan VTL udara, pada 29 November ini (esok).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan terdahulu memaklumkan, kedua-dua negara sudah mencapai lebih 95 peratus kadar populasi dewasa yang divaksin.

“Pencapaian ini memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

“Kerajaan kedua-dua negara bekerjasama untuk melancarkan VTL-Land pada 29 November.

“Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya hari ini.

Menurutnya, selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang terpisah dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

“Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

“Pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk penduduk tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

“Pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksin,” katanya.

Katanya, pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

“Pada masa ini, VTL- Land akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

“Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura. – MalaysiaGazette