Wednesday, November 27, 2024
Home Nasional Roti Gardenia naik harga: KPDNHEP minta kemuka justifikasi

Roti Gardenia naik harga: KPDNHEP minta kemuka justifikasi

Pekerja membawa beberapa roti yang telah siap diproses di Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd, Puchong Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.
HULU TERENGGANU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan pertemuan dengan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) berhubung laporan kenaikan harga roti yang dijadual berkuat kuasa 1 Disember ini.
Susulan itu, Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya meminta syarikat berkenaan mengemukakan justifikasi berhubung rancangannya menaikkan harga makanan berkenaan.
Katanya, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan mentah menjadi antara faktor utama Gardenia KL menyemak semula harga roti jenama Gardenia keluaran syarikat itu.
Namun, Rosol berkata, KPDNHEP meminta supaya cadangan kenaikan harga itu ditangguhkan dahulu bagi mengurangkan tekanan kepada pengguna ketika ini.
Menurutnya, kementerian dijangka menerima maklum balas mengenai saranan penangguhan kenaikan harga itu esok (29 Nov).
“Dikatakan, harga gandum dunia sudah meningkat kerana COVID, kerana cuaca, iklim dan sebagainya. Cara yang konservatif ialah dengan memberi subsidi.
“Tetapi pegawai kita telah berhubung dengan syarikat roti tersebut, bertanyakan kenapa perlu dinaikkan dan apa justifikasinya,” kata Rosol seperti yang dilaporkan Astro Awani.
Terdahulu pada 25 Nov, Gardenia KL menerusi satu kenyataan mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 Dis ini.
Syarikat itu berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan meletakkan ia dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga. – MalaysiaGazette