ISKANDAR PUTERI -Lebih 200,000 pekerja asing yang mendaftar melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) akan dibenarkan bekerja kira-kira dua minggu lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, pekerja asing terlibat sudah pun menerima suntikan vaksin lengkap dan akan ditempatkan dalam beberapa sektor bersesuaian.
“Kita akan beri keutamaan kepada mereka yang telah ada dalam senarai (pendaftaran RTK PATI), kita tengok nak kerja dalam sektor mana, kalau sektor perladangan kita akan panggil syarikat besar untuk ambil mereka bekerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri (IPD) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Pada November lalu, Kementerian Dalam Negeri telah membuat semakan mengenai permohonan-permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.
Mengenai cadangan membenarkan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen di negara ini menggajikan tenaga kerja dari negara sumber baharu iaitu Filipina, Indonesia dan Bangladesh sebagai pengawal keselamatan, Hamzah berkata, perkara itu sedang diperhalusi bagi mencukupkan kuota sedia ada.
Beliau memberitahu, hanya 20 peratus kuota dibenarkan untuk pengawal keselamtan warga asing manakala kuota 80 peratus lagi adalah diberi keutamaan kepada warga tempatan.
“Terdapat 180,000 pengawal keselamatan di negara ini dan buat masa ini 30,000 daripadanya adalah dari Nepal yang terdiri daripada bekas tentera, polis dan agensi penguat kuasa di negara mereka.
“Apabila 30,000 pengawal keselamatan ini tamat tempoh perkhidmatan mereka, jika kita tidak dapat untuk menggantikan atau mendapatkan mereka yang sudah pulang ke Nepal, kita akan ambil pengawal keselamtan dari tiga negara yang saya sebutkan tadi,” katanya.
Namun katanya, keutamaan lebih diberikan kepada warga tempatan kerana jawatan pengawal keselamatan perlu mempunyai integriti selain benar-benar mahir dan mengetahui undang-undang.
“Sebab itu saya umumkan untuk adakan akademi diuruskan agensi di bawah KDN seperti polis, RELA dan imigresen bagi memastikan pengawal keselamatan warga tempatan itu dipertingkatkan tahap profesionalisme dan gaji mengikut jawatan diberikan,” katanya.-MalaysiaGazette