KUALA LUMPUR – Seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba memasuki negara ini ditahan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) dalam tiga siri tangkapan Operasi Benteng malam semalam dan awal pagi tadi.
Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, pada jam 8 malam semalam, Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai, Kota Tinggi, Johor.
“Sekitar jam 9.30 malam, anggota petugas Pos Pemerhati juga turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai,” katanya, hari ini.
Tambah kenyataan itu, hasil serbuan yang dilakukan pada jam 11 malam membawa kepada penangkapan 30 PATI warga Indonesia yang dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan perairan yang tidak sah.
Menurut kenyataan itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama tim Drone ATM telah diaturgerakkan bagi membuat penjejakan untuk mencari saki baki PATI yang masih bersembunyi di sebalik semak tebal di kawasan sama.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan kedua pada jam 8.40 pagi hari ini, pasukan QRF telah berjaya menangkap tujuh lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama dan lapan lagi PATI turut ditahan sekitar jam 11 pagi tadi dalam serbuan ketiga.
“Kesemua mereka dipercayai saki baki PATI yang baru sahaja tiba ke negara ini secara tidak sah.
“Kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 35 lelaki dan 12 wanita warga negara Indonesia berusia sekitar 17 hingga 56 tahun dan ujian saringan ke atas mereka di Pos Tanjung Sepang mengesahkan negatif tanpa jangkitan,” ujarnya.
Katanya, PATI tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dan laporan polis dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 32,851.19 yang meliputi RM2,838.70, Rupiah Indonesia IDR 38,102,815.00 (RM 11,316.54) dan beberapa matawang asing lain, 38 buah telefon bimbit serta barangan perhiasan.
Menurut kenyataan itu, pihaknya meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron ATM serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia bagi menjejaki kemungkinan terdapat saki baki PATI di sekitar
kawasan tangkapan. – MalaysiaGazette