KUALA LUMPUR – Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke diselar apabila dilihat menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kekalahan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, kenyataan pemimpin DAP itu jelas mempertikaikan kredibiliti Anwar sebagai Ketua Pembangkang yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR.
“Kita tanya Anthony Loke, siapa pengganti yang dia maksudkan selepas PKR kehilangan 13 ahli Parlimen yang tinggalkan PKR. Siapa yang wajar gantikan Anwar?
“Kita kena pastikan Anthony berpijak di buki nyata, tidak terus jadikan Anwar punching bag ekoran kekalahan PH di Melaka,” katanya pada sidang media hari ini.
Baru-baru ini, Anthony dilaporkan sebagai berkata, PH tidak lagi boleh lagi terus menamakan Anwar sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri mewakili gabungan itu selepas kalah teruk dalam PRN Melaka baru-baru ini.
Sebaliknya, menurut Anthony tumpuan PH kini sepatutnya kepada agenda reformasi, bukan semata-mata mencalonkan Anwar.
Justeru, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, sudah tiba masanya kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dan Presiden PKR, dikaji semula.
Mengulas lanjut, Abdul Razak meluahkan rasa curiga terhadap motif Anthony menyuarakan cadangan tanpa menamakan calon sesuai untuk menggantikan Anwar.
“Adalah dia maksudkan Presiden Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) adalah seorang yang setaraf dengan karisma Anwar?” soalnya.
Barisan Nasional (BN) semasa PRN Melaka baru-baru ini, memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan di Melaka manakala PH pula hanya berjaya menang lima manakala dua Perikatan Nasional (PN).
Untuk rekod, pada pilihan raya yang lalu, PH memenangi negeri itu dengan 15 kerusi.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansor menjangka PH tidak akan bertahan lama sekiranya lebih ramai pemimpin dalam PH seperti Anthony.
Jelasnya, semua pemimpin gabungan berkenaan sepatutnya menggunakan Majlis Presiden PH dengan sebaiknya untuk menyuarakan, membincangkan dan mencari jalan penyelesaian.
“Masalah-masalah yang sebenarnya telah disepakati, soal logo, calon telah disepakati tiga pihak dalam PH ini yang kita rasa kenapa perlu dibahas di luar dari Majlis Presiden.
“Kalau Majlis Presiden PH telah berfungsi dengan baik tiba-tiba kita rasa pelik kenapa Anthony Loke, yang biasanya hadir (dalam mesyuarat) mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar.
“Sekiranya semua pihak mengambil sikap sama seperti Anthony Loke, PH ini rasanya tidak lama. Semua nak bercakap benda yang boleh disuarakan dalam Majlis Presiden PH,” tegasnya.
Ujar Mustapa, kekalahan PH di Melaka seharusnya dijadikan pengajaran untuk gabungan itu mengatur strategi yang lebih baik menghadapi PRN Sarawak khususnya dalam keadaan norma baharu.
“Kita juga melihat bahawa PRN Melaka ini bukanlah suatu petanda aras di mana BN sebenarnya (bukan) menang mutlak. Kalau pengundi hanya 65 peratus cuba kalau kita naik 70 peratus telah memberi persaingan.
“Saya setuju dan sepakat bahawa untuk menuding jari ke arah Anwar adalah sesuatu yang tidak patut. Ini adalah satu kaedah dan cara untuk melemahkan lagi PH,” tambahnya.-MalaysiaGazette
Sudah-sudah lah otai reformis. Tiada apa yang hendak direformiskan… Reformis lah diri anda untuk menuju ke alam akhirat… Ajak sekali saudara Anwar!!!!
Memang patut pun anwar dipersalahkan . Adakah suci sangat ke anwar tu. Tuduhan keliling pinggang . Prestasi nya bukan menaik pun . Semakin menurun ….