Home Sukan Piala Malaysia: Gerak geri penonton akan dipantau

Piala Malaysia: Gerak geri penonton akan dipantau

Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di luar dan di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 esok.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, menjelang perlawanan tersebut seramai 1,497 pegawai dan anggota akan ditugaskan dalam suasana norma baharu prosedur operasi standard (SOP) selepas 18 bulan ditutup tanpa sebarang aktiviti sukan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan keadaan keselamatan di dalam dan di luar perkampungan stadium itu sentiasa terjamin daripada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Semua penonton yang akan hadir ke stadium diwajibkan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan untuk perlawanan final esok dan orang yang tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk sama sekali ke dalam stadium.

“Para penonton juga dilarang bawa masuk makanan dan minuman, barang mercun, bunga api, suah, laser, mancis atau pemetik api, topi keledar serta sebarang objek yang boleh digunakan sebagai senjata mencederakan orang serta dron khususnya yang tak dapat kebenaran,” katanya dalam sidang media khas menjelang final Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil hari ini.

Malah Muhammad Idzam menambah, bagi memastikan keadaan lalu lintas dan aliran trafik lancar sepanjang perlawanan tersebut di sekitar kawasan stadium nasional itu penonton dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam.

Ujar beliau, oleh kerana perlawanan akhir kali ini diadakan pada hari bekerja, langkah itu penting bagi mengelak berlakunya kesesakan teruk di laluan-laluan serta kawasan menuju ke stadium menjelang perlawanan malam esok.

“Saya nasihatkan orang ramai dan juga penonton kedua-dua pasukan yang akan ke stadium digalakkan supaya menggunakan pengangkuran awam Rel Aliran Ringan ke stadium memandangkan tempat letak kereta adalah terhad.

“Malah elak amalan berlegar di sekitar stadium jika tiada urusan di dalam stadium sepanjang perlawanan.

“Pada Selasa nanti sebelum perlawanan berlangsung polis trafik akan terlibat tugas menguruskan trafik di sekitar stadium memastikan berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Menurutnya, mana-mana pemandu dilarang meletakkan kenderaan di tepi jalan, laluan masuk dan keluar atau simpang jalan sekitar kawasan stadium dan dinasihati supaya lebih berhemah dan tidak mementingkan diri sendiri dengan memakir kenderaan sesuka hati di bahu atau simpang jalan.

Katanya, mana-mana kereta yang diletakkan di tepi jalan akan disaman dan kereta yang ditinggalkan tanpa pemandu akan ditarik dari kawasan itu.

Beliau juga menasihatkan penonton serta penyokong kedua-dua pasukan bola sepak supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi semasa perlawanan akhir nanti dan menunjukkan semangat kesukanan yang baik dan dicontohi semua.

“Polis juga sebagai mengelak pencerobohan yang terjadi semasa perlawanan di Stadium Cheras sebelum ini dan akan meletakkan anggota dalam beberapa kumpulan penangkapan yang akan duduk dengan penonton.

“Pasukan ini akan sentiasa memerhatikan gerak-geri dan tingkah laku penonton di stadium sebelum, semasa dan selepas perlawanan nanti dan mereka yang bertindak provokasi atau bertindak di luar batasan serta berlaku ganas akan ditangkap dan diambil tindakan tegas,” tegasnya.-MalaysiaGazette