KUALA LUMPUR – Tiada tekanan buat Kuala Lumpur City FC (KL City) yang turun dengan status underdog manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu terlalu yakin bahawa mereka mampu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dengan mudah.
Malah, kedua-dua pengendali pasukan, Bojan Hodak dan Benjamin Mora menghormati kredibiliti serta kemampuan masing-masing menjelang perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak berkata, pasukannya berada di tahap motivasi tertinggi menjelang pentas final Piala Malaysia 2021 sambil menyifatkan tekanan tidak berada di pihaknya berbanding JDT.
Dia mahu pemain melupakan soal keletihan setelah mengharungi aksi yang padat pada saingan Piala Malaysia.
“Diharapkan aksi esok akan menjadi perlawanan yang sengit walaupun kedua-dua pasukan agak keletihan terutama kami yang tidak punyai skuad yang besar seperti mereka malah kami hanya ada empat pemain import.
“Namun saya tetap mengharapkan pemain dapat berikan aksi maksimum di atas padang dan tiada sebarang tekanan kepada kami kerana JDT ada segala-galanya seperti pemain dan kemudahan yang lebih baik.
“Dalam perlawanan esok, jika mereka tidak menjaringkan gol pada awal permainan, tekanan akan berpihak kepada mereka dan mungkin secara perlahan-lahan kami akan lebih yakin mencipta sesuatu, ” katanya pada sidang media final Piala Malaysia, di sini, hari ini.
Bagi Mora, dia memandang tinggi KL City yang dianggap sukar dijinakkan berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Super apabila JDT sekadar menang tipis 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim selain seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
“Sejarah pertemuan tidak boleh disorok namun itu hanya satu memori kerana dua perlawanan itu cukup berbeza dengan apa yang bakal ditempuh pada 90 minit secara keseluruhan di atas padang esok.
“Kita tahu sejak Bojan mengambil alih Kuala Lumpur, segalanya tampak berubah dan pasukan KL nyata begitu tersusun dalam soal taktikal serta cukup baik pada situasi bola mati.
“Dua perlawanan yang lalu memang sukar kerana mereka ada pemain yang bagus dan saya jangkakan aksi final esok pasti menjadi perlawanan yang sukar,” katanya. – MalaysiaGazette