SAN JUAN – Negara Barbados kini secara rasminya menjadi sebuah republik.
Upacara bersejarah itu disaksikan beberapa pemimpin dan orang kenamaan termasuk Putera Charles yang menghadiri upacara pada Isnin di Dataran National Heroes.
Pada tahun lalu, Barbados mengumumkan rancangan untuk berhenti menjadi negara raja berperlembagaan dan mengalihkan patung Naib Laksamana Horatio Nelson di dataran tersebut.
Memetik laporan ABC News, bunga api menghiasi langit tengah malam tadi ketika Barbados secara rasmi menjadi sebuah republik.
Skrin dipasang di seluruh pulau tersebut supaya orang ramai dapat menonton acara yang menampilkan orkestra dengan lebih daripada 100 orang dan ramai artis terlibat.
Usaha untuk menjadi sebuah republik bermula lebih dua dekad lalu dan memuncak parlimen negara itu memilih presidennya yang pertama bulan lepas dalam undi majoriti dua pertiga.
Gabenor Jeneral Barbados Sandra Mason dijadualkan mengangkat sumpah hari ini ketika pulau itu menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-55 daripada Britain.
Mason, 72, adalah seorang peguam dan hakim yang juga pernah berkhidmat sebagai duta ke Venezuela, Colombia, Chile dan Brazil.
Dia akan membantu Perdana Menteri, Mia Mottley memimpin pulau Caribbean yang mempunyai lebih 300,000 penduduk yang majoritinya bergantung kepada industri pelancongan.
Barbados tidak memerlukan kebenaran daripada United Kingdom (UK) untuk menjadi sebuah republik walaupun pulau itu masih kekal sebagai ahli negara Komanwel.
Barbados merdeka dari UK pada November 1966, lebih tiga abad selepas peneroka Inggeris tiba dan menjadikan pulau itu sebagai tanah jajahan melalui kerahan ratusan ribu hamba Afrika.
Pada tahun 2005, Barbados menggugurkan Majlis Privy yang berpangkalan di London dan memilih Mahkamah Keadilan Caribbean yang berpangkalan di Trinidad sebagai mahkamah rayuan terakhirnya.
Kemudian pada tahun 2008, ia mencadangkan referendum mengenai isu menjadi sebuah republik tetapi ia ditolak.
Bendera, jata dan lagu kebangsaan Barbados akan dikekalkan tetapi rujukan tertentu akan berubah, menurut Suleiman Bulbulia, kolumnis untuk akhbar Barbados Today.
Dia menulis bahawa istilah “diraja” dan “mahkota” tidak akan digunakan dan Pasukan Polis Diraja Barbados akan menjadi Perkhidmatan Polis Barbados dan “tanah mahkota” akan menjadi “tanah negeri.”
“Ia adalah permulaan era baru. Mana-mana orang Barbados boleh bercita-cita sekarang untuk menjadi ketua negara kita,” tulisnya. – ABC News