KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperincikan cadangan untuk menyediakan skim insurans yang akan memberikan bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa depan.
Timbalan Menteri, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perkara itu perlu dibawa ke peringkat Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, katanya, selain pendekatan penyediaan program insurans sosial, KPWKM berpandangan peranan keluarga perlu diperkukuhkan bagi meningkatkan kesejahteraan ahli keluarga.
“Ia selaras dengan tahap kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan yang memupuk semangat kebersamaan keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai sikap berkhidmat kepada keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan seperti yang diterapkan dalam pendekatan ‘Keluarga Malaysia’,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubah Wang (GPS) yang meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan inisiatif dan pertimbangan dalam menyediakan skim insurans yang akan memberikan bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka.
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, KPWKM menyediakan kemudahan kewangan berbentuk bantuan bulanan kepada warga emas yang berkelayakan iaitu Bantuan Warga Emas (BWE) di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai usaha untuk memastikan kelangsungan hidup warga emas pada masa ini, .
Ujarnya, BWE itu diberikan kepada warga emas yang memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.
“Sehingga Oktober 2021, jumlah penerima BWE adalah seramai 137,793 orang,” katanya. – MalaysiaGazette