KUALA LUMPUR – Pembinaan Menara Merdeka 118 kini sudah mencapai tahap 85 peratus siap.
Ia milik PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, menara kedua tertinggi dunia itu selepas Burj Khalifa di Dubai dijangka beroperasi akhir tahun 2022.
Beliau berkata, ketika ini pemasangan lantai menara telah mencapai tingkat 118 dan pemasangan panel kaca telah dipasang hingga ke tingkat 114 .
“PNB juga telah membuat pelaburan yang besar dalam infrastruktur di sekitar presint untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di sekeliling projek .
“Perancangan teliti telah dilakukan untuk memastikan perjalanan keluar dan masuk presint kekal lancar untuk semua para pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyempurnaan Merdeka 118 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.
Ahmad Zulqarnain menambah, sebagai contoh, presint Merdeka 118 dihubung terus dengan stesen MRT Merdeka, stesen monorel Maharajalela dan Hang Tuah serta stesen LRT Plaza Rakyat dan Hang Tuah.
Ujar beliau, PNB juga telah membina sebuah terowong baru sepanjang satu kilometer di bawah Jalan Belfield untuk memudahkan perjalanan masuk ke tempat letak kereta dari Jalan Syed Putra di Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Istana.
“Sebagai alternatif, pengunjung juga boleh masuk dari Jalan Hang Jebat menggunakan pusingan-u bertingkat yang baharu.
“Walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik, dengan bangganya saya melaporkan bahawa menara ini dan penaiktarafan infrastruktur di sekelilingnya akan siap sebelum akhir tahun 2022,” katanya.
Ahmad Zulqarnain turut memberitahu ketinggian puncak menara atau spire Merdeka 118 adalah berukuran 160 meter dengan berat 1,015 tan.
Menurutnya, berat itu adalah bersamaan dengan berat 852 buah kereta Proton Saga.
“Ianya diperbuat daripada keluli dan panel aluminium dan tempoh pemasangan mengambil masa tiga bulan.
“Penyempurnaan puncak menara ini bukan sahaja menandakan siapnya bahagian struktur luaran terakhir menara Merdeka 118 tetapi juga ketinggian menara yang dinanti-nantikan semua,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: