Home Nasional Selangor kena perkenal subjek politik dalam silibus sekolah

Selangor kena perkenal subjek politik dalam silibus sekolah

Ronnie Liu

SHAH ALAM – Wakil rakyat kerajaan mencadangkan kerajaan Selangor mengadakan program berbentuk pendedahan politik kepada remaja berumur 18 tahun ke bawah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew (DAP) berkata, negara Scandinavia di utara Eropah telah memasukkan subjek  mengenai demokrasi dalam silibus sekolah menengahnya.

Beliau berharap, Selangor menjadi negeri perintis di negara ini  memasukkan subjek yang sama dalam silibus pembelajaran supaya remaja mengetahui secara berilmu mengenai politik.

“Program ini untuk mendedahkan mereka supaya lebih cakna mengenai demokrasi, pilhan raya serta kepentingan politik dalam kehidupan seharian mereka

“Kita boleh belajar dari negara Scandinavia, bagaimana mereka memasukkan subjek politik mengenai demokrasi dalam silibus untuk dipelajari pelajar di peringkat menengah,” katanya dalam perbahasan RUU Perbekalan 2022 peringkat Selangor hari ini.

Dalam perbahasan itu juga, Ronnie minta kerajaan negeri serius menangani masalah bekalan air dan banjir kilat yang menjejaskan ekonomi negeri serta rakyat khususnya.

“Selangor ini, sinonim dengan A. I. R , sama ada kita terlebih air (iaitu banjir kilat) atau pun kita terkurang air (gangguan bekalan air).

“Adalah amat diharapkan agar kita dapat mengurangkan atau meminimumkan gangguan bekalan air dan dalam masa sama juga kita boleh menyelesaikan perparitan mahupun tebatan yang menjadi antara punca berlakunya banjir di sebahagian kawasan di Selangor, termasuk di kawasan saya, Sungai Pelek.

“Saya harap PBT serta agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama dalam menyelesaikan isu banjir ini tanpa menuding jari antara satu sama lain,” katanya.

Beliau bersetuju tindakan tegas dan tanpa kompromi diambil ke atas mana-mana yang melakukan pencemaran alam sekitar dengan tidak membenarkan mereka beroperasi.

Datuk Mohd Shamsudin Lias

Sementara itu, ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan juga mengungkit perkara sama.

Beliau secara peribadi menghargai usaha kerajaan meningkatkan kualiti air dan menambahbaikan sistem bekalan air di negeri itu.

Namun, beliau berharap masalah ganggguan bekalan itu dapat diatasi walaupun perkara itu sukar kerana perbuatan mencemarkan sungai dilakukan secara terancang.

“Bagaimanapun, selama mana kerajaan negeri hendak melihat rakyat terus dibebankan dengan masalah ini yang berlaku hampir setiap tahun,” katanya. – MalaysiaGazette