Home Sukan Shukor bersara jika julang Piala Malaysia

Shukor bersara jika julang Piala Malaysia

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan veteran Kuala Lumpur City FC, Shukor Adan yang mengumumkan bersara pada tahun ini selaku pemain bola sepak profesional memuji perkembangan yang berlaku dalam pasukannya.

Beliau yang telah dilamar selaku Penolong Ketua jurulatih KL City untuk musim depan tidak menyangka di kala umurnya sudah mencecah 42 tahun tapi masih boleh merasai pentas final.

“Pemain-pemain Kuala Lumpur sudah bagi yang terbaik kerana siapa sangka berdasarkan keputusan kurang baik pusingan pertama liga tetapi sekarang kami di final.

“Dalam umur 42, saya tidak sangka akan ke final bersama Bojan walaupun kurang minit bermain tetapi atas kepercayaan jurulatih, saya masih ada dalam pasukan.

“Untuk final kali ini, saya dah umumkan persaraan sebagai pemain bola sepak, ini satu perkara yang saya sudah capai pada penghujung karier dan tiidak kira bermain atau tidak esok, saya berbangga dengan pencapaian Kuala Lumpur pada musim ini,” kata Shukor yang mahu memburu kejuaraan trofi Piala Malaysia buat kali kelima.

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias, menjelaskan, JDT begitu serius memburu kejuaraan kali ini kerana mahu meletakkan nama pasukan dalam ulangtahun ke-100 Piala Malaysia.

“Ini satu pentas yang berbeza kerana lawan juga ada kekuatan tersendiri dan saya sendiri ada mengenali pemain mereka namun apa lebih penting adalah persiapan kami sendiri.

“Sudah pasti Kuala Lumpur cukup berdisiplin dalam bertahan selain berbahaya pada serangan pantas di samping tidak boleh memberikan peluang kepada lawan dalam situasi bola mati kerana pada perlawanan lalu, kami ada melepaskan satu gol kepada mereka.

“Kami juga kena berhati-hati dengan penyerang KL City, Romel Morales, yang begitu bahaya dalam kotak penalti selain mempunyai fizikal yang kuat,” katanya. – MalaysiaGazette