Home Utama Sultan Johor kesal Sungai Danga dicemari sampah

Sultan Johor kesal Sungai Danga dicemari sampah

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengemudi sendiri ‘Air Boat’ milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaraannya.- Gambar Royal Press Office.

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan Sungai Danga di negeri itu dicemari sampah.

Baginda bertitah, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan harus segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah berkenaan dan di sungai-sungai sekitar Johor.

“Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.

“Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan.

“Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah baginda seperti yang dipetik daripada Royal Press Office hari ini.

Sungai Danga yang dicemari pelbagai sampah sarap.- Gambar  Royal Press Office.

Baginda bertitah, exco berkenaan perlu segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.

“Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar namun tiada kesan,” titah baginda lagi.

Terdahulu, Sultan Johor mengemudi sendiri ‘Air Boat’ milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaraannya. – MalaysiaGazette