SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin tidak dapat menerima keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menurunkan had umur belia kepada 30 tahun.
Beliau berkata, sebelum membuat keputusan itu, KBS sepatutnya memanggil semua pihak yang terlibat dengan majlis belia, persatuan belia dan aktivis untuk berbincang serta mendapatkan pandangan.
“Saya sendiri sebagai penggerak dan pemimpin di peringkat Majlis Belia Daerah dan Majlis Belia Selangor kecewa dengan tindakan Menteri KBS menurunkan had umur belia kepada 30 tahun tanpa berbincang secara terperinci dengan kami,” katanya dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2022 peringkat Selangor hari ini.
Mohd Imran yang juga Ahli Majlis Kerja Belia Tertinggi 4B Malaysia sebelum itu menyerahkan Memorandum Bantahan Pelaksanaan Had Umur Belia ke 30 Tahun di Ibupejabat Polis Daerah Putrajaya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini menegaskan pihaknya akan menurunkan had umur maksimum belia kepada 30 tahun.
Keputusan itu bagaimanapun mendapat bantahan pelbagai pihak yang berkaitan dengan beliau, yang disifatkan sebagai tindakan tergesa-gesa, tanpa melalui soal selidik dengan kepimpinan belia.
Rata-rata berpendapat, cadangan menteri itu sekadar berpandukan data yang jauh tersasar daripada keadaan sebenar untuk menjustifikasikan penurunan had umur tersebut.
Mohd Imran bagaimanapun bersetuju dengan tindakan diambil kerajaan Selangor dengan menjadikan mereka berusia sehingga 40 tahun sebagai belia dewasa.
“Saya lebih menghargai tindakan kerajaan Selangor iaitu meletakkan umur 15 hingga 30 tahun sebagai belia dan umur 30 hingga 40 tahun sebagai belia dewasa.
“Dari segi rasionalisasinya tindakan ini mestilah penting dan dalam usaha pemerkasaan belia, saya sarankan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah akan datang wakil daripada Majlis Belia Daerah perlu dijemput supaya boleh menjadi sumbang saran dalam mesyuarat itu,” katanya. – MalaysiaGazette